KOTA BHARU 11 Mei – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menarik nafas lega apabila tunggakan hutang badan berkenaan dengan bekas pengarah teknikal Alfredo Gonzales bakal selesai dalam masa terdekat.
Beban hutang yang menyebabkan Kelantan dipotong tiga mata sebelum ini itu bakal dilangsaikan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi potongan geran tahunan.
Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihak berterima kasih kepada MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)
yang menerima permohonan Kelantan untuk menyelesaikan hutang tersebut.
“Langkah ini dijangka akan menyelamatkan The Red Warriors (TRW) daripada terjatuh ke saingan Liga M3 musim depan,” katanya.
Utusan Malaysia 12 April lalu melaporkan, KAFA menerima keputusan pemotongan tiga mata oleh FAM terhadap Kelantan dalam saingan Liga Perdana.
Pemotongan itu dibuat selepas KAFA gagal melunaskan tunggakan hutang gaji Gonzales berjumlah RM225,940.- UTUSAN ONLINE











