AMPANG – Kira-kira 500 unit mesin judi bernilai RM500,000 yang dirampas polis dalam pelbagai operasi di sekitar daerah ini dilupuskan di Balai Polis Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Pandan Indah di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd. Zaid Hassan berkata, kesemua mesin judi itu dirampas dalam serbuan sekitar tahun 2016 hingga tahun lalu.
“Kesemua mesin perjudian yang dirampas terdiri daripada mesin slot judi, simulator dan set komputer yang dilupuskan setelah mendapat arahan daripada pihak mahkamah.
“Ia melibatkan sebanyak 26 kertas siasatan yang telah selesai dan dituduh di mahkamah,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis BSPT Pandan Indah di sini hari ini.
Mohd. Zaid menambah, jika melihat kepada tren rampasan mesin judi, ia semakin berkurang dari tahun 2016.
“Pada masa kini, sindiket banyak menggunakan telefon bimbit dan tablet untuk berjudi secara online.
“Teknik untuk membanteras kegiatan perjudian ini juga semakin sulit kerana gajet elektronik mudah digunakan di mana-mana sahaja dan oleh sebab itulah, pemantauan akan sentiasa dijalankan,” ujarnya.
Kesemua barangan kes itu berada dalam siasatan Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – K! ONLINE











