Menderita tiada tempurung kepala - Utusan Malaysia

Menderita tiada tempurung kepala

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Itu pepatah yang sesuai bagi menggambarkan penderitaan ditanggung  seorang wanita yang mengalami darah beku di kepala sehingga memaksa tempurung kepalanya dibuang.

Suraya Abdul Ghani, 48, yang dahulunya bekerja sebagai seorang peguam kini hanya terbaring di atas katil tanpa mampu berbuat apa-apa lagi kerana menderita penyakit angin ahmar  dan darah tinggi yang menyebabkannya lumpuh seluruh badan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keadaan ibu kepada lima cahaya mata itu berubah apabila tiba-tiba tekanan darah meningkat tinggi.

Pada mulanya Suraya koma hampir setahun kerana terdapat darah beku di kepala sebelum tempurung kepalanya dibuang oleh doktor bagi  menyelamatkan nyawanya.

Dia yang dahulunya bijak mengatur kata-kata sebagai peguam kini tidak boleh  lagi berkomunikasi dan hanya mampu melihat sahaja bagi memahami situasi sekeliling.

Menurut anak bongsunya, Puteri Athirah Huda Mohd. Fazi, 20, ibunya sudah enam tahun terlantar sakit di rumah dan mereka sekeluarga bekerjasama menjaganya setiap hari.

“Saya sedih mengenangkan nasib menimpa ibu, tetapi saya harus kuat bagi memberikan sokongan kepadanya dan menjaganya sepanjang ayah bekerja.

“Meskipun terpaksa mengorbankan zaman remaja, saya tidak kisah kerana ibulah segala-galanya bagi saya,” katanya kepada S2.

Mengulas lanjut, Puteri Athirah  memberitahu bahawa sejak ibunya jatuh sakit hanya bapanya bekerja sebagai seorang tukang masak di sebuah hotel.

“Setakat ini tiada sebarang bantuan yang diberikan kepada kami a dan pendapatan keluarga sedikit terjejas sejak  ibu sakit.

“Adik-beradik yang lain ada yang sudah mula mencari pendapatan sendiri dengan bekerja dan menjual burger kecil-kecilan untuk membantu meringankan beban ayah kerana kos perubatan ibu sangat tinggi,” katanya.

Tambah puteri bongsu ini, dia sanggup tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi selepas tamat persekolahan kerana ingin menjaga ibunya yang sakit di rumah.

“Saya yang menjaga ibu di rumah kerana dia tidak mampu lagi bergerak dan hanya terbaring di atas katil.

“Rutin harian saya dari pagi hingga malam adalah memastikan ibu dijaga dengan rapi iaitu  memberinya minuman susu sehinggalah membantu mengurut badan ibu seperti yang diajar doktor untuk melancarkan perjalanan darah,” katanya.

Umpama mayat hidup

Tiada lagi aktiviti yang dapat dilakukan Suraya Abdul Ghani sepanjang hayatnya kini. Ini kerana dia tidak lagi mampu bertutur dan bergerak seperti insan normal yang lain.

Nikmat berjalan tidak lagi dapat dirasainya dan dia hanya terbaring di atas katil selain memerlukan  penjagaan rapi dari ahli keluarga.

Meskipun begitu, Suraya  masih mampu mendengar dan melihat perkara yang berlaku di sekelilingnya, namun tidak mampu memberikan sebarang maklum balas.

Menurut Puteri Athirah Huda, ibunya hanya boleh  makan dan minum dengan menggunakan tiub yang ditebuk pada bahagian perut sahaja.

“Makanan yang boleh dimakan hanya susu dan bubur untuk memberikan tenaga kepada ibu bagi meneruskan hari-hari yang mendatang.

“Meskipun tidak mampu bercakap dan bergerak, sesekali ibu mengerling mata menandakan dia faham akan perbualan di antara kami adik- beradik dengan ibu,” katanya.

Tambahnya, keadaan ibu yang tidak lagi mampu membuat apa-apa itu boleh diibaratkan seperti  mayat hidup dan mereka sekeluarga akan sentiasa menjaganya sehingga akhir hayatnya.

“Sesekali ibu akan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. Saya dan ayah akan membawa ibu ke sana untuk mendapatkan rawatan susulan dan membuat pemeriksaan berkala.

“Namun, meskipun sudah enam tahun mendapatkan rawatan, keadaan ibu masih sama iaitu terbaring dan tidak mampu membuat apa-apa lagi,” katanya.

Suami tidak putus asa

Meskipun keadaan kesihatan yang teruk sehingga meragut segala keupayaannya, namun suami Suraya Abdul Ghani  tetap setia bersamanya sehingga hari ini.

Tidak pernah terlintas untuk mencari pengganti berikutan keadaan isteri yang terlantar sakit dan dia tidak pernah berputus asa untuk memberi semangat kepada isteri bagi meneruskan kehidupan. 

Itu antara pengorbanan yang dilakukan Mohd. Fazi Ramli terhadap isterinya yang dicintai  yang dikahwini sejak 26 tahun lalu.

“Saya perlu kuat dan tabah mengharungi dugaan menimpa keluarga kerana tanggungjawab saya terhadap isteri dan anak-anak tidak akan pernah diabaikan.

“Meskipun saya reda dengan ketentuan Allah, namun saya sentiasa mendoakan kesembuhan isteri dan akan sentiasa berada di sampingnya,” katanya.

Tambahnya, anak-anak banyak membantunya untuk menjaga isteri ketika dia keluar bekerja sebagai tukang masak di sebuah hotel demi menyara kehidupan keluarga.

“Saya terpaksa bekerja keras bagi menanggung ubat-ubatan isteri yang mencecah hampir RM1,000 sebulan dan hanya sempat menguruskan isteri ketika cuti.

“Kebiasaannya saya akan memandikan isteri iaitu mengelap badannya dengan tuala basah dan memberinya makan menerusi tiub yang ditebuk pada perut,” katanya.

Mereka yang mahu menyalurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga ini boleh salurkan bantuan atau sumbangan kepada akaun bank Alliance milik Mohd. Fazi di 640870020082620 atau hubungi talian 010-520 8945.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini