PETALING JAYA: Pelakon, Siti Khadijah Halim tampil bersuara tegas susulan penyebaran gambarnya yang didakwa telah dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menurut Siti, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mengganggu emosi, malah menjejaskan fokusnya terhadap kerjaya dan kehidupan peribadi.
“Boleh tak lain kali tolong jangan libatkan saya dalam benda-benda bodoh seperti itu? Saya malas mahu buang masa fikir benda-benda sebegini kerana terang-terang bukan saya.
“Saya tidak akan buat pun. Dalam otak ini saya hanya mahu kerja, kumpul duit untuk hari tua sahaja,” katanya menerusi satu perkongsian di Instagram.
Tambahnya, dia sebelum ini tidak pernah ambil pusing terhadap sebarang isu melibatkan dirinya, namun situasi tersebut membuatkan dirinya nekad untuk mengambil tindakan undang-undang.
“Saya tiada masa nak fikir tentang sunting itu ini, orang cakap belakang ke apa ke, terpulang. Janji awak gembira. Tetapi sekarang, saya terpaksa berfikir kerana awak salah buat percaturan. Ganggu saya. Insya-Allah saya cari awak dan saman awak,” tegasnya.
Terdahulu, tular satu hantaran di Threads memaparkan foto wanita mirip pelakon itu bersama seorang lelaki berserta kapsyen yang mendakwa kononnya dia cuba mengganggu tunangan orang.
Menerusi gambar yang tular itu, ia memaparkan Siti Khadijah dengan lelaki dikenali sebagai Hot Daddy yang sebelum ini mencipta kontroversi selepas didakwa terlibat dengan pengiklanan khidmat persundalan, menjual rakaman video lucah dan memiliki bahan lucah.
Berikutan itu, Siti yang enggan berdiam diri turut meminta panduan daripada pengikutnya di Instagram mengenai prosedur perundangan yang lebih efektif bagi memberi pengajaran yang setimpal terhadap individu terbabit.










