LONDON: Ahli Parlimen Britain menolak cadangan untuk membuka siasatan terhadap Perdana Menteri, Keir Starmer berhubung kontroversi perlantikan Peter Mandelson sebagai duta ke Amerika Syarikat (AS).
Lapor Reuters, cadangan itu bagi menyiasat sama ada Starmer telah mengelirukan Parlimen dalam kenyataannya mengenai keputusan melantik Mandelson.
Starmer memilih veteran Parti Buruh itu untuk jawatan diplomatik tertinggi itu pada Disember 2024, namun kemudian memecatnya pada September tahun lalu selepas mendapati hubungan Mandelson dengan pesalah seks AS, mendiang Jeffrey Epstein lebih rapat daripada yang diketahui sebelum ini.
Perdana Menteri itu menolak tekanan untuk meletakkan jawatan berhubung isu tersebut, dengan menyatakan Mandelson berbohong mengenai hubungannya dengan Epstein.
Starmer juga berkata, pihak pegawai tidak memaklumkan beliau tentang proses saringan yang sepatutnya menghalang pelantikan itu daripada berlaku.
Pada Selasa, ahli Parlimen mengundi 335 berbanding 223 untuk menolak permintaan agar Jawatankuasa Keistimewaan menyiasat sama ada Starmer mengelirukan Dewan Rakyat mengenai beberapa perkara, termasuk kenyataannya bahawa proses sewajarnya telah dilaksanakan dalam pelantikan tersebut.
Sekiranya jawatankuasa itu mendapati Starmer sengaja mengelirukan Parlimen, beliau dijangka perlu meletakkan jawatan.
Starmer sebelum ini mengkritik usaha yang diketuai oleh Ketua Pembangkang Parti Konservatif, Kemi Badenoch untuk melancarkan siasatan itu, dengan menyifatkannya sebagai tindakan politik yang bertujuan mempengaruhi pengundi menjelang pilihan raya tempatan dan serantau pada 7 Mei.
Beliau mengarahkan ahli Parlimen Parti Buruh untuk menentang siasatan tersebut, yang menyebabkan penolakan besar-besaran di Parlimen.
Badenoch pula berkata, tindakan Starmer membuat arahan sedemikian menunjukkan beliau berada dalam keadaan lemah.










