KOTA TINGGI 13 Mei – Agensi penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menemukan mayat seorang lelaki lengkap berpakaian terapung pada kedudukan lapan batu nautika Timur Tanjung Kelisa, dekat sini petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, pihaknya menggerakkan sebuah bot ronda ke lokasi setelah Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima aduan berkenaan penemuan mayat itu.
Katanya, MRSC Johor Bahru menerima maklumat daripada tekong bot nelayan tempatan yang menemui mayat tersebut pada pukul 6.50 petang semasa dalam perjalanan pulang ke Tanjung Sedili.
“Sejurus tiba di lokasi, pihak kami menemukan mayat terapung yang masih berbaju dan berseluar hitam dipercayai sudah seminggu terapung di laut.
“Identiti mayat tidak diketahui dan dibawa oleh bot ronda ke Jeti Zon Maritim Tanjung Sedili sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE











