AMPANG JAYA – Mayat seorang lelaki ditemui tertiarap di dalam sebatang longkang berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Bunga Melor 5, Taman Muda di sini hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang, Superintendan Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung penemuan mayat berkenaan kira-kira pukul 12.48 tengah hari sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati mayat berkenaan tertiarap di dalam longkang serta berpakaian lengkap namun tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri.
“Pemeriksaan yang dilakukan oleh Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia ke atas mayat yang sudah mulai reput itu juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Mohd. Zaid, pihaknya turut mendapatkan bantuan daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan Indah untuk mengeluarkan mayat lelaki tersebut.
“Mayat berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat yang akan dilakukan pada pukul 9 pagi esok.
“Identiti, umur dan bangsa si mati masih belum dapat dikenal pasti dan kes kini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelas beliau. – K! ONLINE











