SAUDARA PENGARANG,
MENTERI Pendidikan, Dr. Maszlee Malik bagaikan keseorangan apabila dikecam hebat oleh DAP, Gerakan dan MCA berhubung isu kuota kemasukan pelajar ke kolej matrikulasi dan permohonan pekerjaan yang memerlukan fasih berbahasa Mandarin. Di mana agaknya suara pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan?
Saya sebagai rakyat biasa yang tiada apa-apa kaitan dengan parti politik, sejujur dan seikhlasnya teruja ingin memberi pendapat dan cadangan agar pertikaian isu kuota matrikulasi dapat dilerai dan dihentikan.
Ia mestilah diperuntukkan berdasarkan nisbah rakyat Malaysia keseluruhannya. Orang Melayu dan bumiputera sekitar 65 % maka kuota kemasukan ke kolej matrikulasi juga mestilah 65 %.
Jika kerajaan setuju, mesti disyaratkan juga terhadap semua pihak berkaitan iaitu dengan membatalkan terus tuntutan agar diiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Ini bermakna, kuota matrikulasi menjadi 35 % diperuntukkan kepada bukan Melayu dan bumiputera.
UEC yang sekarang pun belum diiktiraf, sudah ada majikan mensyaratkan mesti fasih berbahasa Mandarin kepada pemohon pekerjaan.
Bagaimana andainya sudah diiktiraf? Apa akan jadi kepada Dasar Pelajaran Kebangsaan? Dalam sebuah negara terdapat dua aliran pendidikan.
Saya berpendapat, nisbah tersebut amatlah sesuai dan munasabah, menepati demografi rakyat Malaysia yang majmuk.
JAMES WAK
Sijangkang, Selangor











