LONDON 9 Mei – England bakal menjadi negara pertama untuk melihat empat pasukan dari negara itu beraksi di pentas kejohanan tertinggi Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) jika Arsenal dan Chelsea layak ke final Liga Europa.
Ini kerana Liverpool sudah mengesahkan tiket ke final Liga Juara-Juara dengan mencipta kebangkitan menakjubkan menentang Barcelona dan The Reds akan bertemu Tottenham yang menyingkirkan Ajax.
Bagi saingan Liga Europa menyaksikan Chelsea bertemu Eintracht Frankfurt dalam aksi timbal balik separuh akhir selepas kedua-dua pasukan itu seri 1-1 ketika aksi pertama manakala Arsenal menewaskan Valencia 3-1;.
Sebelum ini, hanya tiga dari empat pasukan berasal dari negara yang sama beraksi dalam dua kejohanan tertinggi di Eropah itu.
Pada 1980, dua kelab Jerman iaitu Eintracht Frankfurt dan Borussia Monchengladbach bertembung dalam final Liga Juara-Juara manakala Hamburg menentang Nottingham Forest dari England di pentas akhir Liga Europa.
10 tahun kemudian, Juventus menentang Fiorentina dalam final Liga Europa manakala AC Milan mara ke final Liga Juara-Juara.
Lapan tahun kemudian, Juventus layak ke final Liga Juara-Juara dengan dua kelab Serie A, Inter Milan dan Lazio berentap di pentas akhir Liga Europa. – AGENSI











