KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan kutipan zakat meningkat kepada RM720 juta pada tahun ini daripada RM651 juta tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi peningkatan syarikat-syarikat korporat yang membayar zakat sepanjang tahun ini.
“Kutipan zakat setakat ini sangat memberangsangkan meskipun keadaan ekonomi semasa yang berkembang dan menguncup.
Syarikat-syarikat korporat yang membayar zakat juga akan memperoleh manfaat hasil daripada bayaran tersebut apabila 37.5 peratus daripada jumlah zakat yang dibayar akan dikembalikan kepada pembayar zakat untuk digunakan bagi melaksanakan pelbagai program kebajikan seperti membina masjid dan membantu golongan asnaf,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis agihan makanan berbuka puasa kepada asnaf di Pusat Agihan Zakat (PAZA) Parlimen Bukit Bintang, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, sebarang program kebajikan yang ingin dilaksana syarikat korporat melalui pengembalian kutipan zakat tersebut, hendaklah dimaklumkan kepada MAIWP bagi mengelak berlaku sebarang ketirisan. – Bernama











