Mahu pulang ke Indonesia, lelaki nekad sembunyi dalam ruang tayar pesawat kargo - Utusan Malaysia

Mahu pulang ke Indonesia, lelaki nekad sembunyi dalam ruang tayar pesawat kargo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 13 Mei – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan polis selepas bertindak menceroboh serta bersembunyi di dalam ruang tayar pesawat kargo di kawasan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, tindakan lelaki berusia 39 tahun tersebut dikesan seorang juruteknik yang sedang membuat penyelengaraan kapal terbang kargo berkenaan.

Difahamkan, lelaki berkenaan bertindak nekad menyembunyikan diri dalam ruang tayar pesawat kargo itu kerana mahu pulang ke kampungnya di Medan, Indonesia, namun tidak mempunyai wang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md. Zain berkata, suspek bersembunyi di bahagian tayar pesawat kargo berkenaan sejak awal pagi sebelum dia keluar dari tempat persembunyian berkenaan selepas terdengar suara juruteknik tersebut.

“Suspek mula masuk ke kawasan larangan melalui pagar yang berlubang di Permatang Damar Laut lalu berjalan sehingga menuju ke pesawat kargo yang sedang diparkir.

“Suspek mengaku ingin pulang ke Medan, Indonesia tetapi dia tidak mempunyai wang kerana mendakwa tidak dibayar gaji selama dua bulan oleh majikannya,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang bekerja di tempat memproses ayam di Balik Pulau sejak sembilan bulan lalu berjaya ditahan pasukan kawalan keselamatan sebelum dia diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Suspek akan direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini