KOTA BHARU 31 Mei – Luqman Fikri, 13, yang menghidap penyakit buah pinggang menjalani pembedahan bagi membuang cecair di bahagian tulang sendi punggungnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) hari ini.
Ibunya, Yuraini Che Wani ,42, berkata, Luqman Fikri dikejarkan ke unit kecemasan HRPZ II pada selasa lalu selepas mengadu sakit pada bahagian kaki kirinya.
“Selepas berbuka puasa, dia telah menangis kesakitan sebelum dihantar oleh jiran ke hospital.
“Selepas menjalani pemeriksaan lanjut, doktor telah mengesan terdapat cecair seperti nanah di dalam tulang sendi punggungnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin terpaksa menanggung derita selama 12 tahun akibat penyakit buah pinggang yang dihadapinya sejak kecil.
Anak ketiga dari lima beradik itu dikesan mengalami penyakit buah pinggang ketika berusia setahun lebih selepas dia menunjukkan tanda-tanda seperti kerap demam, berat badan naik, mata bengkak serta perut buncit.
Penyakit buah pinggang yang dihidapi Luqman kini sudah berada di tahap lima dan dia terpaksa berulang-alik ke hospital bagi menjalani proses mencuci darah tiga kali seminggu di Pusat Hemodialisis, HRPZ II.
Dalam pada itu, Yuraini berkata, sejak dimasukkan ke hospital Selasa lalu, Luqman Fikri tidak dapat tidur kerana menahan kesakitan.
“Walaubagaimanapun, malam tadi, dia dapat tidur dengan lena selepas diberikan ubat tahan sakit sebanyak empat kali.
“Saya berharap agar orang ramai dapat mendoakan kesihatan anak saya serta proses pembedahan ini berjalan dengan lancar. InsyaAllah, “ katanya.
Yuraini berkata, sepanjang anaknya berada di wad, dia hanya bekerja selama satu hingga dua jam sehari.
“Saya terpaksa bekerja walaupun hanya selama satu jam sehari kerana itulah punca rezeki kami.
“Manakala suami pula terpaksa cuti bekerja untuk menjaga Luqman Fikri kerana dia perlu dibantu untuk bergerak,” katanya. – UTUSAN ONLINE











