LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menggesa anak-anak buahnya melupakan kekalahan 0-3 kepada Barcelona pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Khamis lalu dan mula memberi tumpuan terhadap aksi Liga Perdana England (EPL) menentang Newcastle United di St. James Park awal pagi esok.
The Reds wajib memenangi aksi menentang Newcastle ini sekiranya mahu terus memberi tekanan kepada Manchester City dalam perebutan kejuaraan EPL tatkala perlawanan liga hanya berbaki dua perlawanan untuk ditamatkan.
Klopp berharap anak-anak buahnya akan turun dengan semangat baharu apabila bertandang ke St. James Park esok bagi menangani tentangan sengit yang bakal diberikan oleh pasukan tuan rumah.
“Saya tidak mahu pemain-pemain saya terus fikirkan mengenai kekalahan kepada Barcelona kerana aksi menentang Newcastle juga sangat penting untuk kami. Perlawanan menentang Newcastle bakal menentukan kedudukan kami dalam saingan liga musim ini.
“Selepas kekalahan kepada Barcelona, kami semua pulang ke hotel dan berehat. Kemudian, kami bertolak balik ke England pada sebelah pagi dan saya tahu semua pemain masih berada dalam kepenatan. Bagaimanapun, saya bangga dengan mereka,” kata Klopp.
Meskipun masih terkesan dengan kekalahan kepada Barcelona, namun pengendali dari Jerman itu percaya pemain-pemainnya memiliki karakter sebagai pemain profesional dan mampu melakukan kebangkitan dalam pertemuan dengan Newcastle.
“Kami terima kekalahan tersebut dengan hati terbuka, tetapi saya percaya pemain-pemain sudah bersedia untuk bangkit. Memang kami kecewa, namun kami akan lupakan sementara kekalahan itu dan tumpukan pada aksi menentang Newcastle,” ujarnya. – Agensi










