PORT DICKSON 2 Mei – Gara-gara berang kad ditelan mesin pengeluaran wang automatik (ATM), seorang lelaki bertindak memecahkan cermin pintu sebuah bank di bandar Port Dickson di sini pagi tadi.
Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, suspek berusia 47 tahun terbabit turut membaling dan memijak tong sampah sehingga kemek.
Beliau berkata, kejadian berpunca selepas kad ATM suspek ditelan oleh mesin semasa dia berurusan di bank berkenaan.
“Pihak bank kemudian telah menyerahkan semula kad kepada suspek tetapi dia bertindak mengganggu pelanggan lain.
“Lelaki itu membuat kacau dengan membaling dan memijak tong sampah hingga kemek dan memecahkan cermin pintu masuk bank sebelum dia meninggalkan premis itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, pihak bank telah membuat laporan ekoran kejadian yang menyebabkan kerugian kira-kira RM2,000.
“Susulan laporan itu, anggota Ronda Cegah Jenayah Balai Polis Port Dickson telah menangkap suspek di Jalan Lama Bandar Port Dickson pada pukul 12.30 tengah hari.
“Hasil siasatan awal, suspek yang berasal dari Kampung Arab di sini mengaku memecahkan cermin pintu bank tersebut. Mengikut rekod, dia juga pernah ditangkap atas kesalahan memecahkan cermin sebuah restoran makanan segera dua tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, siasatan terhadap kes itu dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











