Lelaki dibuli, diejek maafkan perbuatan biadab remaja - Utusan Malaysia

Lelaki dibuli, diejek maafkan perbuatan biadab remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT 13 Mei – Sudahlah tidak menghormati orang tua, bertindak membulinya lagi dan melakukan perbuatan tersebut di bulan Ramadan yang mulia.

Itulah tindakan biadab sekumpulan remaja yang bertindak seorang lelaki warga emas yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu lembam dalam satu kejadian di Batu 7, Kampung Sijangkang di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, hati mangsa, Mohd. Mudakir Abdul Wahid, 59, ternyata mulia apabila tetap memaafkan kesemua remaja berkenaan setelah permohonan maaf dibuat bersama ibu bapa masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menceritakan lanjut, Mohd. Mudakir, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang pada 7 Mei lalu apabila dia mengingatkan kumpulan remaja terbabit supaya menunaikan solat dan menjaganya kerana ia merupakan tiang agama.

“Bagaimanapun, apa yang berlaku sebaliknya. Saya tidak sangka penduduk kampung dan ahli keluarga yang kecewa dengan tindakan remaja terbabit mencari kumpulan remaja itu susulan video yang tular.

“Hampir 1,000 penduduk berhimpun dan akhirnya remaja terbabit datang ke rumah bersama ibu bapa mereka bagi memohon maaf dan saya telah maafkannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Dalam pada itu, jelas Mohd. Mudakir, dia tidak bercadang memanjangkan perkara itu sehingga membuat laporan polis kerana remaja tersebut mungkin tidak sedar gurauan mereka itu kasar sehingga menjadi tular.

“Tiada dendam di hati ini dan saya menganggap isu tersebut telah selesai. Biasalah budak-budak,” ujarnya.

Terdahulu, insiden Mohd. Mudakir dibuli, diejek, dijatuhkan motosikal dan dibaling cebisan kotak serta diletakkan bekas makanan di atas kepala tular di laman sosial.

Kejadian disedari ahli keluarga mangsa dan penduduk kampung itu mengakibatkan kumpulan remaja terbabit dicari bagi memohon maaf kepada Mohd. Mudakir yang merupakan bekas pemandu lori.

Dalam pada itu, adik kepada Mohd. Mudakir yang kecewa dan terkilan dengan perbuatan remaja tersebut tetap tidak boleh menerima abangnya diperlakukan sedemikian.

Hairuzaman, 47, berkata, abangnya mempunyai masalah mental disebabkan terlibat dengan kemalangan di Jalan Pelabuhan Klang di sini sejak 34 tahun lalu.

“Namun, dia tidak pernah mengganggu orang lain malah kerap pergi ke surau apabila tiba waktu solat. Kami tahu ada yang menyakatnya tetapi tidak seperti dilakukan oleh kumpulan remaja itu dan saya berharap perkara ini tidak berulang kembali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mengatakan motif remaja berkenaan adalah untuk bergurau.

Jelasnya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis dan dimaklumkan bahawa perkara tersebut telah diselesaikan oleh kedua-dua pihak terlibat.

“Sekiranya menerima laporan polis berhubung perkara ini, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini