Sementara itu Mohd. Fahmi Samsudin, 28, turut mengakui sebagai mutawif perlu mempunyai tahap kesabaran tinggi terutama dalam membimbing jemaah mengerjakan ibadat.
Pemegang diploma dalam bidang Usuluddin dari Kolej Islam As-Sofa itu berkata, pelbagai ujian ditempuhi oleh mutawif semasa menguruskan jemaah, namun perkara itu seharusnya tidak menjadi persoalan utama serta penghalang kepadanya untuk menabur bakti kepada tetamu Allah dan menziarahi Nabi Muhammad SAW.
“Saya sememangnya menanam cita-cita untuk menjadi seorang mutawif kerana ia satu tugas yang mulia. Selain membolehkan saya terus mendalami ilmu agama, saya juga berjaya membimbing orang lain dalam melakukan ibadah kepada Allah.
“Menjadi seorang mutawif turut mengajar saya agar pantas membuat keputusan dan meningkatkan tahap diplomasi. Semua ini penting demi memastikan keadilan buat semua jemaah yang berada di bawah bimbingan saya sekali gus melancarkan perjalanan melaksanakan ibadah di Tanah Suci.
“Apa yang lebih menarik, sebagai mutawif saya berpeluang berada di Tanah Suci dengan lebih kerap termasuk semasa Ramadan. Ini merupakan satu kelebihan terbaik untuk menjana pahala selain berbakti kepada jemaah menunaikan ibadah di tanah kelahiran Nabi Muhammad SAW,” kata pemuda dari Ampang, Selangor itu.
Dalam pada itu, Muhammad Hafiz Zulkifli, 27, berkata, bertugas sebagai mutawif membolehkannya menambah ilmu selain berharap tugas yang dilakukan itu mampu menjadi bekalan terbaik buatnya untuk mencari kegembiraan Allah.
Jelas pemegang Diploma Tahfiz Quran, Kolej Islam Pulau Pinang itu, kegembiraan Allah pastinya akan memudahkan segala urusan insan di dunia dan kemungkinan boleh menjadi asbab memperoleh kebaikan di akhirat.
“Untuk mencapai kegembiraan Allah ini, kita sebagai seorang mutawif perlu ikhlas menunaikan tugas biar seberat manapun ujian diberikan. Tugas perlu dilaksanakan sepenuh hati dan sama sekali tidak membiarkan jemaah tanpa bimbingan sebaiknya.
“Dalam masa sama kesihatan dan kekuatan fizikal adalah perkara penting bagi seorang mutawif. Tugas sebagai mutawif menuntut untuk bergerak pantas dan berupaya menjaga semua jemaah dengan baik selain harus mempunyai suara yang jelas dalam memberi penerangan kepada mereka,” katanya yang telah berkhidmat sebagai mutawif sejak lima tahun lalu.
AKADEMI MUTAWIF
Mencipta nama dalam industri pelancongan dan umrah yang sebelum ini dimonopoli oleh kaum bukan bumiputera memerlukan daya usaha tinggi dalam usaha meletakkan nama pada tahap tertinggi atau sebaris dengan nama syarikat besar lain.
Pengurus Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, pelbagai usaha digembelingkan termasuk mewujudkan Akademi Mutawif Andalusia pada 2008 bagi melahirkan lebih ramai golongan mutawif anak tempatan yang mempunyai kredibiliti tinggi seterusnya berupaya memberi perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah.
“Menyedari kepentingan untuk Andalusia memiliki mutawif tempatan yang lengkap dengan ilmu agama, hadis, sirah nabi serta bertanggungjawab, pihak pengurusan bersetuju menubuhkan Akademi Mutawif Andalusia. Kami mengambil kumpulan mutawif muda yang tamat pengajian dalam bidang agama dan bahasa Arab termasuk dari universiti luar negara seperti Mesir, Jordan, Syria dan Yemen.
“Pengambilan kumpulan mutawif muda tempatan bukan sahaja memudahkan urusan mengendalikan jemaah dari negara ini dan hubungan antara mutawif bersama jemaah lebih rapat, malah memiliki solusi terbaik dalam menyelesaikan beberapa masalah melibatkan hukum ekoran perbezaan pendapat sekiranya menggunakan mutawif bukan dari Malaysia,” katanya.
Mengulas lanjut, bekas Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji itu berkata, sebahagian besar jemaah yang mengikuti umrah bersama kumpulan mutawif muda Andalusia bukan sahaja berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan, malah mempunyai ilmu untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul serta mempunyai daya penarik tersendiri termasuk boleh berlagu atau bernasyid bagi menghiburkan jemaah.
Tambahnya, selain sanggup meluangkan masa 24 jam bersama jemaah, kelebihan mutawif tempatan berkomunikasi dalam bahasa Arab juga menjadi satu kelebihan buat jemaah kerana mereka berasa selamat dan tidak mudah ditipu ketika berada di Tanah Suci.
“Setakat ini kami mempunyai kumpulan mutawif tempatan berkaliber seramai 286 pembimbing.
Jumlah ini sekali gus mampu memenuhi permintaan jemaah yang menginginkan kumpulan pembimbing dalam kalangan warga tempatan,” katanya.











