Kerajaan kaji subsidi syarikat ambil pekerja tempatan - Utusan Malaysia

Kerajaan kaji subsidi syarikat ambil pekerja tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 Mei – Kerajaan masih mengkaji cadangan untuk memberikan subsidi tidak langsung kepada syarikat yang mengambil warga tempatan sebagai pekerja.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, cadangan itu telah dikemukakan dalam Mesyuarat Khas Kabinet semalam yang menyentuh mengenai peluang pekerjaan rakyat negara ini.

Menurutnya, menerusi cadangan itu, kerajaan akan memberikan subsidi tidak langsung kepada para pekerja menerusi syarikat yang mengajikan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ada cadangan tetapi belum lagi ada keputusan kerana kita akan kaji sama ada kita ada wang cukup atau tidak.

“Sehingga kini masih belum ada keputusan berhubung perkara itu walaupun kerajaan telah menerima cadangan membabitkan usaha berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Platform Digital e-Dagang Bohai Commodity Exchange (Boce) Malaysia/ASEAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Kata Perdana Menteri lagi, dalam mesyuarat semalam juga membincangkan tentang lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini.

Tambah beliau, perkara itu berpunca apabila rakyat Malaysia enggan bekerja disebabkan upah tidak begitu tinggi.

“Tetapi kalau terlalu tinggi, barangan kita akan menjadi terlalu mahal sehingga tidak boleh bersaing dengan barangan dari negara lain.

“Oleh kerana itu, terdapat pihak buat cadangan kalau boleh kita buat subsidi tidak langsung.

“Dengan cara ini, gaji pendapatan akan meningkat dan rakyat kita akan bekerja seterusnya tidak lagi bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Dr. Mahathir menegaskan, kerajaan mendapati setiap tahun Malaysia mengalami kerugian berbilion ringgit kerana pekerja asing menghantar wang pendapatan ke negara asal.

“Dalam mana negara pun, kalau duit mengalir keluar, kita akan menjadi miskin. Kalau mengalir dalam negara, kita menjadi kaya.

“Jadi kalau boleh, tidak mahu duit kita mengalir keluar dengan ia gunakan oleh pekerja tempatan, maka duit itu akan berada dalam negara ini,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini