KOTA BHARU 16 Mei – Lujnah Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas negeri ini menempelak golongan yang sensitif dengan perkataan ‘bekas banduan’ sehingga ada yang membuat laporan polis ke atas Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan atas dakwaan menghina raja.
Pengerusinya, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan serta peruntukan Seksyen 300 dan 301 Kanun Prosedur Jenayah berkait kuasa raja menggantung dan meremit hukuman tidak sesekali memberi isyarat sama ada secara nyata atau tidak bahawa selepas pengampunan diberikan mana-mana rekod dapatan bersalah juga turut terhapus.
Justeru, Nik Bahrum berkata, tidak ada salahnya perkataan ‘banduan’ yang digunakan dalam ucapan Takiyuddin semasa berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan baru-baru ini yang merujuk kepada Presiden PKR yang juga bakal Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bahasa mudahnya ‘kamu tetap bersalah’. Tambahan pula dalam kes Presiden PKR ini terdapat dua dapatan bersalah dan pengampunan hanyalah terhadap dapatan bersalah yang kedua.
“Inilah rekod-rekod yang ada yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapapun bahawa bagi setiap dapatan bersalah tersebut, beliau telah dihantar ke penjara yang juga mencatatkan rekod beliau pernah menjadi penghuni di situ yang kita gelar sebagai banduan.
“Bila dihantar ke penjara, beliau tetap seorang banduan. Bila sudah keluar beliau adalah bekas banduan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Nik Bahrum mengulas isu ‘bekas banduan’ yang didakwa diucapkan Takiyuddin sehingga timbul kecaman beberapa pihak termasuk yang mengatakan Setiausaha Agung Pas itu telah menghina raja serta perlu disiasat polis.
Sebaliknya, Nik Bahrum berkata, yang menjadi persoalan sekarang adalah kenapa ada pihak teramat sensitif dengan perkataan bekas banduan.
“Jika kita tidak salah, maka malu apa ‘bro’ (saudara)?’,” katanya sinis.
Untuk rekod, Takiyuddin semasa berceramah di PRK Sandakan pada Jumaat lalu telah mengeluarkan kenyataan berbunyi ‘Ada seorang cita-cita jadi Perdana Menteri sangat. Keluar daripada penjara … Sebagai peguam kita tahu apabila seorang keluar daripada penjara status seumur hidup (nya) adalah (bekas) banduan’.
Ucapan Takiyuddin tersebut turut mengundang respons beberapa pemimpin termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak adil kerana umum mengetahui pertuduhan terhadap Anwar sejak 1998 itu merupakan pertuduhan politik.
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula dilaporkan berkata, ramai tokoh Islam dan pemimpin dunia pernah dipenjarakan tetapi akhirnya tetap dipilih menjadi pemimpin kerana integriti serta kemampuan mereka memimpin dan bukan dengan label atau gelaran yang diberi. – UTUSAN ONLINE











