SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 19.22 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai RM961,250 menerusi dua tangkapan berbeza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini pada Jumaat dan Sabtu lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, kes pertama melibatkan rampasan 10.16 kg dadah bernilai RM508,000 manakala kes kedua membabitkan 9.06 kg dadah bernilai RM453,250.
Menurutnya, kedua-dua suspek lelaki warga India yang masing-masing berusia 26 tahun dan 30 tahun ditahan selepas pemeriksaan dilakukan ke atas kotak yang dibawa oleh mereka.
Beliau memberitahu, pihaknya turut mendapati, sindiket menggunakan modus operandi hampir sama untuk kedua-dua kes iaitu menyorokkan dadah di dalam perkakas dapur elektrik.
“Hasil pemeriksaan bagi kes pertama mendapati 27 bungkusan plastik lut sinar berisi dadah disorokkan di dalam sembilan unit kuali elektrik pelbagai guna.
“Kes kedua pula melibatkan penemuan 39 bungkusan plastik lut sinar disorok di dalam 13 unit kuali gelombang termo,” katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo FCZ di sini hari ini.
Zulkurnain berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek menggunakan pas pelancong untuk membawa dadah tersebut masuk ke dalam negara selain dipercayai menerima bayaran pendahuluan sebanyak RM1,000 bagi tujuan tersebut.
“Suspek kes pertama tiba dari Kolkata pada pukul 8.05 pagi, Jumaat lalu dan sepatutnya pulang pada hari sama.
“Sementara itu, suspek kes kedua pula tiba dari Bengaluru pada pukul 12.01 tengah malam, Sabtu lalu dan dipercayai sudah tiga kali memasuki negara ini. Siasatan seterusnya menunjukkan ujian saringan air kencing mereka adalah negatif,” katanya.
Sementara itu, Zulkurnain berkata, pihaknya kini sedang menyiasat jika terdapat pertalian antara kedua-dua suspek tersebut memandangkan mereka bekerja sebagai tukang cat.
“Walaupun suspek dari tempat berbeza iaitu Kolkata di selatan India dan Bengaluru di sebelah timur negara itu, kita lihat kemungkinan jika mereka ada pertalian,” katanya.
Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati.
“Suspek kini direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Sepang dan akan didakwa dalam tempoh terdekat,” katanya. – K! ONLINE











