KUALA LUMPUR 13 Mei – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau sama sekali tidak pernah merestui tindakan menantunya, Zaharudin Muhammad yang membuat pendedahan berkaitan ‘kartel dedak’ baru-baru ini.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, beliau hanya mengetahui perkara tersebut selepas dimaklumkan terdapat pelanggaran tatatertib parti yang dilakukan oleh menantunya itu.
“Dakwaan Zaharudin yang tindakannya mendedahkan isu tersebut (kartel dedak) direstui saya tidak benar sama sekali. Malah, perkara ini sudah selesai.
“Kita akan menyerahkan perkara ini kepada jawatankuasa siasatan untuk tindakan selanjutnya. Isu kartel ini adalah modal kitar semula yang digunakan musuh politik untuk menjatuhkan Pas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dialog Pas bersama media yang berlangsung di Hotel De Palma di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan dan kepemimpinan tertinggi yang lain.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan kontroversi Takiyuddin yang mengaitkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan status bekas banduan, Abdul Hadi menganggap itu sebagai pandangan peribadi semata-mata dan tidak mewakili Pas.
Katanya, terpulang kepada rakyat untuk menilai sama ada Anwar adalah bekas banduan ataupun tidak. – UTUSAN ONLINE











