KAFA tolong lepaskan saya - Piya - Utusan Malaysia

KAFA tolong lepaskan saya – Piya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Bekas kapten The Red Warriors, Mohd. Badri Radzi sekali lagi menghantar surat permohonan dilepaskan daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) semalam.

Mohd. Badhri atau Piya berkata, ini merupakan kali kedua dia berbuat demikian selepas melakukannya pada 8 April lalu.

Menurutnya, permohonan itu dibuat berpandukan kepada  Klausa 8.7 yang terdapat dalam kontrak pemain bola sepak.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, klausa tersebut jelas menyatakan kontrak ini boleh ditamatkan tanpa apa-apa (sama ada pembayaran pampasan atau pengenaan sekatan kesukanan) jika pemain tidak menerima gajinya lebih daripada satu kali.

“Sejak menyertai TRW pada 16 Mac lalu, saya belum pernah menerima gaji sebagai pemain bola sepak dari KAFA.

“Mengikut perkiraan sudah dua bulan saya tidak menerima gaji iaitu Mac dan April,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, ia jelas melanggar kontrak pemain bola sepak sebagaimana yang termaktub dalam Klausa 8.7.

Piya memberitahu, dia mahu menamatkan kontrak dengan TRW dan berharap KAFA dapat mengeluarkan Sijil Perpindahan Pemain (SPN) nanti.

Katanya, kerjasama itu amat diharapkan bagi membolehkan dia terus mencari rezeki bagi menyara keluarga.

“Saya juga berharap KAFA dapat menjelaskan tunggakan gaji selama dua bulan untuk tahun 2019 ini.

“Setelah tidak dibayar gaji lebih daripada satu kali, pemain akan menulis surat kepada setiausaha kelab atau pengurus menyatakan hasrat untuk menamatkan kontrak.

“Selepas menyatakan hasrat untuk menamatkan kontrak, pemain berhak untuk berunding dengan mana-mana kelab baharu tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada kelab sama,” katanya.

Dalam kes sedemikian, kelab akan melepaskan pemain ke pasukan baharu tanpa syarat termasuklah mengeluarkan SPN sebaik sahaja kontrak itu ditamatkan dan tiada pampasan atau bayaran pemindahan lanjut boleh dikenakan kepada kelab baharu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini