ALAM Melayu merupakan wilayah geo-politik yang luas terbentang, meliputi Malayarchipelago di bawah pemerintahan Raja-raja Melayu. Setelah Raja-raja Melayu menganut ajaran Islam syariat nabi Muhammad SAW, proses penjernihan adat Melayu dan adat Minangkabau berlaku sehingga amalan patuh syariah menjadi teras kepada sistem politik dan prinsip perundangan.
Proses islamisasai seperti di atas berlaku seawal kurun ke-13 sehingga zaman kemuncak kegemilangan Islam di Alam Melayu di Kesultanan Melayu Melaka.Hasil daripada kemakmuran Kesultanan Melayu Melaka, Kota Melaka muncul sebagai pelabuhan terkaya di dunia yang menghubungkan kuasa ekonomi di Timur dan Barat.
Meskipun pelbagai bangsa berurusniaga dan hubungan diplomatik antarabangsa mula terjalin antara Kesultanan Melayu Melaka dengan Kerajaan-kerajaan asing, namun elemen-elemen watan iaitu kedaulatan Kesultanan Melayu Melaka, bahasa Melayu, adat Melayu dan prinsip Islam terus berkembang dan dihormati oleh semua pihak yang hadir di Melaka, panggilan bagi Semenanjung Tanah Melayu.
Perkembangan di atas menghasilkan masyarakat majmuk dan Raja-raja Melaka memainkan peranan besar untuk melindungi jati diri watan Tanah Melayu. Peranan Raja-raja Melayu untuk mempertahan elemen jati diri watan kekal menjadi tanggungjawab walaupun selepas campur tangan British di Tanah Melayu.
Perjanjian British dengan Raja-raja Melayu tidak menggugat kedudukan Islam sebagai agama watan bahkan adat Melayu terus dipertahan, termasuk bahasa Melayu dan hak kedudukan orang Melayu sebagai bangsa asal.
Kejayaan Raja-raja Melayu melaksana tanggungjawab terserlah dalam terma-terma Perjanjian Negeri 1948 dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Penginstitusian Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957 melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bertarikh 5 Ogos 1957 berserta kelulusan enakmen di peringkat Negeri untuk penubuhan sebuah Persekutuan yang meletakkan ketinggian Yang di-Pertuan Agong dan peruntukan Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan merupa keterangan nyata kedaulatan Negara kita diwarisi daripada Raja-raja atau kesultanan-kesultanan Melayu.
Keterangan daripada sejarah perundangan dan fakta-fakta sejarah menunjukkan amalan syura dan keadilan ialah teras sistem politik tradisional Melayu.
Mendokong
Prinsip itu ialah manifestasi Raja-raja Melayu sebagai khalifah seperti terkandung dalam Hukum Kanun Melaka dan perlembagaan bertulis pascanya seperti Hukum Kanun Pahang, Undang-Undang Johor, Undang-Undang 99 Perak, Undang-Undang Kedah, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan Itqanul Muluk (Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu) 1911.
Itu membuktikan Raja-raja Melayu memerintah berdasarkan undang-undang Perlembagaan Negeri masing-masing sebelum dan selepas Hari Merdeka. Justeru, amalan feudal atau konotasi raja berkuasa mutlak seperti berlaku di England sebelum The Glorious Revolution 1688 bukanlah prinsip sistem politik tradisional Melayu.
Pada hakikatnya, amalan syura, keadilan dan sistem Raja Berperlembagaan bertunjangkan Islam dan adat Melayu diteruskan selepas Hari Merdeka. Prinsip itu terakam dalam Perjanjian Negeri 1948 apabila Raja-raja Melayu bersetuju penubuhan Majlis Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pembentukan sebuah persekutuan berkerajaan sendiri untuk menegak keamanan dan kerajaan baik.
Prinsip itu diterjemahkan melalui penginstitusian Parlimen, jumaah menteri dan badan kehakiman di bawah kuasa dan bidang kuasa Yang diPertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Dalam prinsip Raja Berperlembagaan, semua pihak perlu menjunjung ciri-ciri kedaulatan negara berlandaskan prinsip patuh syariah. Prinsip itu termaktub dalam Perkara 181(1), Perkara 3(1) dan sumpah Yang di-Pertuan Agong serta lain-lain peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Hal ini kerana sumber kuasa Parlimen, jemaah menteri dan badan kehakiman berpunca daripada kuasa dan bidang kuasa Raja-raja Melayu yang mendelegat kepada Yang di-Pertuan Agong.
Lantaran itu, Jemaah Menteri yang diketuai Perdana Menteri bertanggungjawab untuk mendokong Sumpah Yang di-Pertuan Agong kerana mereka ialah pelaksana sebahagian besar kuasa eksekutif Yang di-Pertuan Agong. Amalan syura menuntut kesepakatan dan pelaksanaan tadbir urus yang baik.
Persoalan budi bicara atau bertindak atas nasihat hanyalah merupakan mekanisma ditetapkan melalui undang-undang, namun matlamat sebenar ialah untuk melaksanakan pemerintahan berlandaskan prinsip patuh syariah.
Justeru, hidupkan kembali adat budaya kita. Raja, pemimpin dan rakyat berpisah tiada. Kerajaan Persekutuan ialah Kerajaan Yang di-Pertuan Agong.
Raja dan pemimpin yang dipilih rakyat mempunyai tanggungjawab bersama menjunjung ajaran Islam, mengamal syura, menegak keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama, pangkat dan keturunan.
Oleh kerana Raja-raja Melayu selama ini memikul amanah elemen-elemen jati diri watan seperti dinyatakan di atas, maka kewajipan sama hendaklah diteruskan para pemimpin pilihan rakyat sebagai pelaksana fungsi kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Sebarang kekhilafan yang ada, perlulah kembali kepada al-Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW (substance) yang diuruskan dalam bentuk (form) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
PENULIS mempunyai PhD (Konsep Kedaulatan Raja-Raja Melayu) kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknosahawan, Universiti Malaysia Perlis.











