KUALA LUMPUR 12 Mei – Badan Peguam Malaysia menyokong kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador bahawa anggota polis dan orang awam akan menerima impak positif daripada penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC)

Presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, penubuhan IPCMC tidak melanggar Seksyen 4, Akta Polis 1967 dan Perkara 140 (1) Perlembagaan persekutuan yang jelas menyatakan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) boleh mengambil tindakan disiplin terhadap anggota mereka.
“Sebagai badan yang akan menggantikan SPP, IPCMC adalah badan luar yang memantau salah laku anggota polis tanpa menjejaskan kuasa KPN.
“Sekiranya berlaku salah laku dalam kalangan anggota polis, IPCMC cuma bertindak sekiranya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak bertindak terhadap aduan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Hamid sebelum ini dilaporkan menyokong penubuhan IPCMC yang akan menjadi sebuah badan bebas bagi menyiasat aduan berkaitan anggota PDRM. – UTUSAN ONLINE











