TAWAU 2 Mei – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau menghantar pulang 158 tahanan warga Indonesia ke negara asal melalui Jeti Tawau ke Nunukan, Indonesia, hari ini.
Ketua Pejabat JIM Tawau, Abdul Samat Wahab berkata daripada jumlah itu, 97 orang adalah lelaki, 37 wanita dewasa, 11 kanak-kanak lelaki dan 13 kanak-kanak perempuan yang kesemuanya berumur antara sebulan hingga 67 tahun.
Beliau berkata sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) itu merupakan bekas banduan yang diserahkan oleh Jabatan Penjara Sabah berikutan tangkapan di Kota Kinabalu, Tawau, Semporna serta Lahad Datu.
Menurutnya, proses penghantaran balik PATI ke negara asal merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani masalah kemasukan mereka ke negeri ini.
Sementara itu, ketika dihubungi beliau meminta penduduk di daerah itu agar memberi kerjasama kepada pihak penguat kuasa bagi menangani kehadiran PATI dengan menyalurkan maklumat, serta mengelak menggaji selain melindungi golongan itu. -BERNAMA











