Hubungan kerajaan PH-Raja Melayu baik - Utusan Malaysia

Hubungan kerajaan PH-Raja Melayu baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 2 Mei – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, tanggapan pihak tertentu bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak bekerjasama dan mengiktiraf peranan Raja-Raja Melayu adalah salah dan tidak betul.

Beliau sebaliknya menjelaskan, hubungan kerajaan PH dengan Raja-Raja Melayu masih baik dan mesra malah pucuk pimpinan turut memahami penghormatan rakyat terhadap institusi diraja.

Malah katanya, kerajaan mengiktiraf kedudukan raja berpelembagaan dan peranan mereka dalam masyarakat, justeru pendekatan itu tidak berbeza dengan apa yang berlaku dalam masyarakat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak fikir hubungan itu tidak baik, sebaliknya sentiasa baik dan masih berjalan lagi, saya tidak melihat hanya dengan satu dua peristiwa maka itu menggambarkan bahawa kita tidak mempunyai hubungan yang baik dengan raja-raja.

“Zaman lampau dulu (kerajaan dulu) pun ada isu-isu sebegini tentang hubungan kerajaan dengan raja.

“Namun yang penting di peringkat sekarang ini kita nak menunjukkan satu situasi di mana hubungan itu sentiasa mesra dan setiap kita ada peranan sama ada peringkat kerajaan, raja-raja, legislatif, eksekutif, semuanya ada peranan dalam masyarakat, ini yang kita sebutkan sistem demokrasi,” katanya dalam temubual bersama media sempena setahun pentadbiran PH di sini hari ini.

Ditanya sama ada campur tangan raja dalam politik boleh menjejaskan tadbir urus kerajaan, Muhyiddin berkata, raja dan kerajaan mempunyai peranan dan tanggungjawab yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Raja adalah raja berpelembagaan dan ada peranannya, manakala kerajaan adalah kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses demokrasi, sebab itu tanggungjawab dan bidang masing-masing sudah dijelaskan dalam Perlembagaan.

“Semolek mungkin kalau kita patuh dalam apa yang termaktub dalam Perlembagaan, baik kita rakyat biasa atau pegawai kerajaan atau raja dalam sebuah sistem demokrasi di Malaysia maka itu tidak menjadi satu masalah.

“Masalahnya kalau kita dilihat ada sedikit perkara yang berlaku dianggap mencampuri urusan kerajaan oleh raja, sebab itu peranan yang telah ada di pihak raja atau kerajaan, Perdana Menteri atau Menteri Besar itu agak penting

“Sekiranya hubungan itu baik maka pandangan atau kes-kes yang dianggap mencampuri urusan kerajaan pun boleh dapat kita atasi,” katanya.

Sebelum ini, wujud tanggapan bahawa kerajaan PH tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Raja-Raja Melayu berikutan krisis yang berlaku antara Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim membabitkan pelbagai isu termasuk Statut Rom.

Kerajaan yang didakwa cuba menghapuskan Raja-Raja Melayu menarik diri daripada meratifikasi statut berkenaan selepas mendapat bantahan pelbagai pihak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini