TUMPAT 13 Mei – Lima penjenayah termasuk dua wanita yang memecah masuk rumah seorang guru dan melarikan kereta mangsa di Kampung Air Dingin, di sini pagi ini dicekup polis, kira-kira lima jam kemudian ketika sedang ‘melaram’ kenderaan curi itu di sekitar bandar Kota Bharu.
Kesemua suspek berusia lingkungan 19 hingga 22 tahun ditahan kira-kira pukul 8 pagi ini selepas polis berjaya mengesan kereta jenis Toyota Vios merah terbabit dipandu dalam keadaan mencurigakan melalui Jalan Mahmood berdekatan Stadium Sultan Muhammad IV.
Mereka juga tidak sempat joli hasil curi apabila pemeriksaan lanjut polis ke atas kereta membawa kepada penemuan barangan lain yang turut dilarikan dari rumah mangsa seperti seunit komputer riba dan telefon pintar Iphone 7 plus.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab. Rashid Mat Daud ketika mengesahkan penahanan kumpulan penjenayah itu berkata, polis turut merampas pemutar skru yang digunakan untuk memecah masuk rumah mangsa.
“Kelima-lima mangsa didapati positif dadah dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah serta Seksyen 15 (a)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi, mangsa, Sarbanu Mohd Zain, 54, memberitahu, dia tersedar dari tidur selepas enjin kereta dihidupkan penjenayah terbabit dan segera mengejutkan suaminya, Mohamad Zawawi Che Yusoff, 55.
“Suami terus mengintai melalui tingkap bilik tidur dan hanya sempat melihat mereka melarikan kereta kami dari garaj tanpa sempat melakukan apa-apa.
“Mujur mereka tidak ambil motosikal yang ditinggalkan di lorong masuk rumah,” katanya.
Menurut Sarbanu, kumpulan tersebut dipercayai memasuki rumahnya dengan cara menghulurkan tangan menerusi tingkap sisip angin bagi membuka selak dari dalam.
“Mereka juga sempat melarikan dompet milik suami yang mengandungi wang tunai RM200, seunit komputer riba dan seunit Iphone 7 plus,” katanya.
Difahamkan, kejadian itu tular di media sosial sebelum salah seorang kenalan anak mangsa ternampak Toyota Vios merah berkenaa melalui pasar raya KB Mall dan segera memberitahu polis trafik yang ketika itu sedang mengawal lalu lintas yang sesak pada sebelah pagi. – UTUSAN ONLINE











