SAUDARA PENGARANG,
PERKARA paling sinonim dikaitkan dengan bulan ini selain peluang melakukan ibadah adalah pesta juadah di bazar Ramadan. Selain memudahkan dalam membuat pilihan makanan, lebih menarik perhatian adalah juadah yang disediakan kadangkala begitu eksklusif dan hanya boleh didapati sepanjang Ramadan.
Namun di sebalik kemeriahan pesta juadah ini, berlaku juga pertambahan jumlah sampah kerana makanan yang dijual dibungkus menggunakan plastik dan kertas. Seperti yang kita sedia maklum, plastik adalah sejenis bahan tahan lama serta mengurai dengan perlahan kerana ikatan kimia yang kuat dan ia mampu mengatasi sebarang proses penguraian semula jadi.
Salah satu cara yang boleh diamalkan untuk mengurangkan sisa plastik ketika berbelanja di bazar Ramadan adalah dengan membawa bekas sendiri dari rumah untuk membungkus makanan yang dibeli. Dengan menggunakan bekas sendiri, ia dapat diulang pakai seberapa kali diperlukan dan makanan yang dibungkus juga bebas daripada bahan kimia terlarut.
Walaupun inisiatif ini nampak kecil tetapi besar impaknya kepada alam sekitar untuk jangka masa panjang. Untuk permulaan, mungkin agak sukar melakukannya tetapi jika ada kemahuan, di situ ada jalan.
NOOR RAIFANA
AB. RAHIM
Pensyarah UiTM Pasir Gudang











