LONDON 9 Mei – Lucas Moura mengakui dia sukar untuk menggambarkan perasaanya dengan kata-kata selepas meledak hatrik ketika membantu Tottenham mara ke pentas Liga Juara-Juara buat kali pertama dengan penuh dramatik.
Pemain sayap kanan itu meledak gol kemenangan pada minit tambahan membantu Spurs bangkit daripada ketinggalan tiga gol untuk mencatat keputusan agregat 3-3 namun mereka layak menerusi peraturan gol di tempat lawan.
“Mustahil untuk saya memberitahu perasaan saya ketika ini. Saya berasa amat gembira dan berbangga dengan rakan-sepasukan. Kami percaya jika memberi aksi terbaik di atas padang, tiada apa yang mustahil. Saya fikir kami layak mendapat kemenangan ini, kami sebuah keluarga.
“Ini hadiah penuh bermakna daripada tuhan dan saya berkongsi dengan rakan sepasukan dan penyokong,” katanya.
Spurs berdepan detik cemas dalam tempoh 45 minit pertama selepas Matthijs de Ligt dan Matthijs de Ligt menjadikan kedudukan 2-0.
Bagaimanapun, Moura meledak dua gol dalam tempoh 15 minit sebaik sahaja rehat bersambung sebelum dia menjaringkan gol ketiga pada minit terakhir permainan.
“Semua pemain bekerja keras. Sukar untuk kami bertemu Ajax di tempat mereka namun saya percaya dengan rakan sepasukan dan kualiti yang mereka ada meskipun tiada pemain utama.
“Bola sepak amat menakjubkan. Ia dapat memberi detik seperti ini di mana kami sendiri tidak pernah menjangkakannya. Kami perlu menikmati kemenangan ini.
“Ini adalah detik terindah dalam karier saya dan saya perlu berterima kasih kepada pasukan sebab apa yang saya lakukan untuk Tottenham amat sukar dipercayai,” katanya lagi.
Spurs akan bertemu Liverpool selepas skuad kendalian Jurgen Klopp itu melakar kemenangan agregat 4-3 ke atas Barcelona dalam satu lagi aksi separuh akhir kejohanan. – AGENSI











