CUEPACS minta kerajaan tidak sisihkan penjawat awam - Utusan Malaysia

CUEPACS minta kerajaan tidak sisihkan penjawat awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan agar tidak membelakangkan penjawat awam dalam apa jua dasar yang membabitkan golongan tersebut.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, perkara itu termasuk pengumuman Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), baru-baru ini yang tidak lagi menetapkan rumah mampu milik khas untuk penjawat awam.

“Penetapan ini ialah satu keputusan membelakangkan kesatuan kami yang mewakili kira-kira satu juta penjawat awam di seluruh negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (SPK) itu tidak mengambil kira pandangan CUEPACS, sedangkan kesatuan sepatutnya dirujuk untuk segala keputusan yang membabitkan penjawat awam,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Seri Pacific di sini hari ini. 

Azih memberitahu, sehingga kini terdapat 70 peratus penjawat awam yang masih tidak memiliki rumah sendiri. 

“CUEPACS merayu agar kerajaan mengekalkan dasar sedia ada yang memberi jaminan rumah mampu milik khusus untuk penjawat awam.

“Kadar harga rumah kini yang mencecah sehingga RM300,000 juga merupakan harga yang terlalu tinggi bagi penjawat awam. Mengikut kemampuan pendapatan mereka, kadar RM80,000 sehingga RM100,000 adalah lebih wajar,” ujarnya. 

Tambahnya, CUEPACS turut akan mengutuskan surat kepada Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin bagi mendapatkan penjelasan mengenai pengumuman tersebut. 

Terdahulu, KPKT telah mengumumkan tiada lagi pembinaan rumah mampu milik khusus untuk penjawat awam supaya golongan itu dapat berinteraksi dengan orang lain.

Keistimewaan itu juga akan dibuka kepada golongan berpendapatan rendah (B40) daripada pelbagai sektor yang layak. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini