PADA Rabu lalu, bola sepak dunia dikejutkan dengan berita penjaga gol legenda, Iker Casillas mengalami serangan jantung, namun beberapa hari kemudian keadaannya dilaporkan stabil.
Di usia yang bakal mencecah 38 tahun pada 20 Mei ini, bekas kapten Sepanyol dan Real Madrid itu dijangka mengucapkan selamat tinggal lebih awal ekoran keadaan kesihatannya.
Bagi penyokong Real, Casilla adalah legenda Los Blancos selepas 16 tahun membantu kelab itu memenangi pelbagai trofi, biarpun dia menutup karier bersama kelab Portugal, Porto gara-gara ‘ditendang’ oleh gergasi bola sepak Sepanyol itu.
Casillas menyertai kelab itu pada 1990 di usia sembilan tahun, malah dia adalah sebahagian tonggak yang membantu Los Blancos memenangi lima gelaran liga dan dua kejuaraan Eropah.
Kehebatan pemain kelahiran Mostoles, Madrid itu tidak sekadar di peringkat kelab.
Bersama skuad Sepanyol, Casillas menjadi watak utama ketika mereka menjulang Piala Dunia 2010, selain kejuaraan Eropah 2008 serta 2012.
Kejayaan itu membolehkan dia dinobat Penjaga Gol Terbaik Dunia lima tahun berturut-turut.
Pada ketika ramai menjangkakan dia bakal mengakhiri karier di Madrid dan menjadi legenda kelab seperti mana Lionel Messi bersama Barcelona, namun ‘langit tidak selalunya cerah’.
Pada 2015, Real amat terdesak untuk ‘mengusir’ Casillas sehingga sanggup membayar 15 juta euro (RM70 juta) sebagai pampasan.
Casillas diejek sekumpulan penonton di Santiago Bernabeu setiap kali beraksi pada dua musim terakhir bersama Real.
Semua bermula kerana panggilan telefon yang dilakukannya pada 2011.
Ketika itu, permusuhan di antara Real dan Barcelona amat tegang, terutama selepas pengurus mereka, Jose Mourinho mengapi-apikan pemain dengan sentimen ‘kita menentang mereka’.
Casillas mendapati keadaan semakin tidak terkawal, terutama dengan kritikan yang sengaja dilemparkan Mourinho terhadap kapten Barcelona, Carles Puyol dan bintang tengah, Xavi.
Melihat terlalu banyak kebencian, Casillas yang ketika itu kapten Real dan Sepanyol menangani situasi tersebut dengan caranya sendiri apabila menghubungi Puyol dan Xavi.
Tindakannya tidak disenangi penyokong Real, namun sebagai kapten Sepanyol, dia melakukan perkara yang tepat apabila berjaya membentuk perpaduan dalam skuad La Roja sehingga muncul juara Eropah 2012.
Mourinho yang berang menegaskan dia tidak akan memaafkan penjaga gol itu.
Dia memberitahu semua orang Casillas ada agenda untuk menjatuhkannya dan hasutan jurulatih dari Portugal itu telah mempengaruhi sebahagian besar pemain, termasuk Cristiano Ronaldo dan Pepe.
Mourinho mengatur propaganda dengan mendakwa, Casillas telah membocorkan rahsia pasukan dan rakan-rakannya kepada media kerana isterinya, Sara Carbonero yang merupakan wartawan sukan pernah memberitahu Mexican TV pada awal 2013 ‘pemain kalau boleh mahu menumbuk perut Mourinho’.
Casillas dianggap pembelot dan kelab pula langsung tidak mempertahankannya.
Biarpun cuba bertahan, kesabaran Casillas akhirnya terlerai pada 2015, apabila dia secara rasmi meninggalkan Real untuk menyertai Porto.
“Saya bukan saja dikritikan, malah disumpah seranah, jadi saya perlu bernafas.
“Ia keputusan sukar tetapi bagi saya, meninggalkan Real bagi mencari pengalaman baharu cukup mengujakan.
“Keadaan di Madrid tidak lagi menyeronokkan dan ia menyukarkan saya, jadi saya perlu melakukan sesuatu,” kata Casillas kepada media Sepanyol.











