PULAU PINANG 13 Mei – Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri pada jarak kira-kira 8.9 batu nautika dari timur laut Pulau Betong malam tadi selepas didapati melanggar syarat sah lesen.
Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, ketika ditahan kira-kira pukul 11.40 malam, bot itu dinaiki seorang tekong lelaki warga Thailand berusia 38 tahun bersama tiga awak-awak iaitu seorang warga tempatan dan dua warga Thailand.
Menurutnya, kesemua mereka yang berusia antara 46 hingga 48 tahun itu ditahan di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 8 (b) kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 12 batu nautika dari pantai terdekat.
“Bot berkenaan bersama dua gulung pukat tunda, dua buah papan tunda serta ikan campur dan ikan baja yang masing-masing seberat kira-kira 100 kilogram (kg) ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban di sini untuk siasatan serta tindakan lanjut.
“Kesalahan itu merupakan isu utama di perairan Pulau Pinang dan Maritim Malaysia amat memandang berat masalah ini serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak kerana penangkapan ikan di luar zon menjejaskan pendapatan nelayan pesisir pantai,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan komuniti maritim tempatan supaya bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang di laut.
Kesalahan itu, tambah beliau, terutama melibatkan pencerobohan kawasan zon penangkapan ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai.
Selain itu, katanya, orang awam juga diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146. – UTUSAN ONLINE











