KUALA LUMPUR 9 Mei – Bank Negara Malaysia (BNM) merupakan bank negara pertama di ASEAN mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas daripada 3.25 peratus kepada tiga peratus.
Pakar Ekonomi OCBC Bank, Alan Lau berkata, tindakan itu bertentangan dengan ramalan pihaknya kerana bank itu menjangkakan pengurangan akan berlaku seawal Julai 2019.
Katanya, OCBC Bank berharap BNM akan terus mengekalkan OPR untuk sepanjang 2019 kecuali jika berlaku kemelesetan ketara dalam pertumbuhan ekonomi dunia.
“BNM tidak memberikan sebarang petunjuk mengenai pergerakan masa depan kecuali menyatakan bahawa Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan terus memantau dan menilai baki risiko yang menyelubungi prospek pertumbuhan domestik dan inflasi.
“Kami menjangkakan pertumbuhan sederhana 4.4 peratus buat Malaysia pada suku pertama 2019 begitu juga pertumbuhan keseluruhan 2019,” katanya dalam nota penyelidikan di sini.
Semalam, Bank of Thailand mengumumkan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus meskipun ketika ketidaktentuan ekonomi global dan domestik.
Dalam pada itu, RHB Research berpendapat tidak akan berlaku lagi pengurangan OPR untuk sepanjang 2019 memandangkan pertumbuhan ekonomi walaupun sederhana, masih kekal terbaik.
Jelasnya, bagaimanapun risiko merudum memang ada, sekiranya perdagangan global terus mencatatkan perkembangan negatif yang mungkin mampu mengheret pertumbuhan ekonomi Malaysia ke tahap yang lebih rendah.
“Pengurangan itu, kali pertama dalam hampir dua tahun, adalah selaras dengan konsensus firma.
“BNM juga menyatakan terdapat beberapa tanda, syarat-syarat kewangan akan menjadi lebih ketat walaupun keadaan monetari dan kewangan dalam negeri kekal menyokong pertumbuhan ekonomi. Penyelarasan OPR bertujuan untuk mengekalkan tahap penyesuaian kewangan,” katanya.











