KUALA LUMPUR – Tiga pengganas Daesh termasuk seorang warga Bangladesh yang memiliki bahan kimia dan kepakaran untuk menghasilkan bahan letupan diberkas dalam operasi berasingan pada 17 Mei lalu hingga semalam.
Tangkapan ke atas rakyat tempatan, warga Indonesia dan Bangladesh itu dijalankan di Selangor, Kedah dan Sabah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tangkapan pertama dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang membabitkan lelaki tempatan berusia 42 tahun yang mahu berlepas ke Mesir untuk menyertai kumpulan pengganas di Syria.
Katanya, kontraktor itu berhubung dengan pemimpin utama Daesh, Abu Bakar Al-Baghdadi dua kali menerusi Facebook sejak awal tahun lalu.
“Siasatan mendapati suspek berpegang kuat kepada ideologi Salafi Jihadi apabila menolak sistem demokrasi berparlimen, tidak mengiktiraf kerajaan Malaysia dan institusi agama yang dilabelkan sebagai kafir.
“Umat Islam yang terlibat dalam pilihan raya juga dilabelkan sebagai kafir dan boleh dibunuh,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Tangkapan kedua dibuat pada Sabtu lalu di Keningau, Sabah melibatkan buruh warga Indonesia berusia 20 tahun.
Katanya, suspek berhubung dengan Abu Bakar melalui aplikasi Telegram dan bertindak sebagai fasilitator kepada pengganas di negaranya yang transit di Sabah sebelum berlepas ke selatan Filipina bagi melancarkan serangan bunuh diri.
“Suspek juga menyalurkan dana kepada kumpulan pengganas Maute di selatan Filipina selain merancang berjihad di Syria,” katanya.
Suspek warga Bangladesh yang bekerja sebagai pembantu mekanik enjin kapal berusia 28 tahun pula ditahan di Kuala Kedah semalam.
“Suspek memiliki bahan kimia dan pakar menghasilkan bom buatan sendiri,” katanya.
Suspek yang terpengaruh dengan Daesh sejak 2017 belajar menghasilkan bahan letupan daripada Telegram dan YouTube selain buku-buku yang diperoleh daripada Internet.
Ketiga-tiganya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Dalam perkembangan sama, polis mengesan individu dikenali sebagai Marwan yang beralamat di Kampung Keritan Laut, Keningau.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.











