Sedar tidak sedar, esok bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat dan kemaafan daripada Allah SWT datang lagi. Kehadiran bulan puasa pada setiap tahun sentiasa dinanti-nantikan kerana pahala dan ganjaran besar yang disediakan. Tambah istimewa, dalam bulan ini juga terdapatnya malam lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), DATUK MOHAMAD NORDIN IBRAHIM, kehadiran bulan Ramadan kali ini perlu diraikan sebagai tetamu yang istimewa dan lebih penting dianggap sebagai Ramadan terakhir supaya ia menjadi motivasi untuk beribadah dengan lebih bersungguh-sungguh.
“Kalau Allah jadikan ini Ramadan terakhir, jadikan ia sebagai satu motivasi untuk kita melipat kali gandakan amalan kerana dalam bulan ini terdapat pakej lengkap kerana di sini terdapatnya pahala, kemaafan, lailatulqadar dan sebagainya,” ujarnya dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan jurugambar, AZLAN HADI ABU BAKAR dan juruvideo AZMAN AHMAD sempena Ramadan 1440 hijrah di pejabatnya, baru-baru ini.
MINGGUAN: Apakah makna di sebalik Ramadan dan bagaimana untuk meraikan kedatangan bulan yang penuh keberkatan ini?
MOHAMAD NORDIN: Ramadan mempunyai banyak makna antaranya ia adalah bulan amal ibadah dan penyucian jiwa yang kita sebagai umat Islam perlu mengambil bahagian secara menyeluruh tanpa berhenti menyerah diri kepada Allah dalam melaksanakan ibadat.
Oleh itu, kedatangan bulan ini perlu disambut dengan penuh persiapan dan persediaan kerana Ramadan datang hanya setahun sekali, pertama kita perlu sucikan hati dan bersedia untuk menghadapi Ramadan 100 peratus seperti kita hendak masuk ke sebuah universiti.
Kita mesti mempersiapkan diri untuk belajar dan mentarbiahkan diri kerana dalam bulan tarbiah ini ada pelbagai ganjaran, cabaran dan anugerah yang bakal Allah berikan kepada kita.
Dengan persiapan yang tulus, ikhlas dan penuh bersemangat kita perlu berazam untuk meningkatkan kualiti ibadah supaya lebih baik daripada bulan-bulan sebelumnya, paling penting kita perlu memperuntukkan masa dengan amal ibadat dan tidak menghabiskan masa dengan tidur sampai tujuh hingga lapan jam sehari, sebaliknya kita perlu lebihkan ibadah seperti solat malam dan bertadarus.
Pada masa sama, kita juga perlu mencari ruang untuk mempersiapkan diri dari sudut kewangan kerana Ramadan adalah bulan untuk bersedekah, infaq (menderma) dan membantu fakir miskin melalui zakat fitrah serta menyediakan makanan untuk berbuka puasa.
Selain itu, kita juga perlu menganggap Ramadan sebagai tetamu yang perlu diraikan dengan pelbagai amalan seperti beriktikaf, memperbanyakkan taubat, bermuhasabah, berdoa, berselawat, berzikir, beristighfar dan mengulang kaji membaca al-Quran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat.
Sepanjang bulan ini juga perlu ditekankan untuk solat secara berjemaah dan tepat pada waktu, kalau perkara ini boleh dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) kita ia sudah sangat bagus kerana solat berjemaah adalah tiang kepada agama dan puasa kita tidak akan sempurna jika solat ditinggalkan.
Isu bilangan solat sunat tarawih sentiasa menjadi perdebatan sehingga kini, sebaik-baiknya berapa rakaat?
MOHAMAD NORDIN: Sebelum ini ada dua pandangan yang sering menjadi pertikaian tetapi sekarang sudah tidak serius.
Ada yang kata lapan rakaat dan ada yang kata boleh buat 20 dan 36 rakaat tetapi menurut tiga mazhab utama iaitu Hanafi, Hambali dan Syafie mereka menetapkan solat sunat tarawih dibuat 20 rakaat. Dalam konteks ini, jika kita mengikut mazhab Syafie paling baik adalah 20 rakaat.
Namun begitu, dalam keadaan masyarakat yang sudah biasa menunaikan lapan rakaat, janganlah perkara ini dijadikan perbalahan kerana ibadah ini adalah ibadat sunat dan kalau mampu tunaikan 20 rakaat ia lebih baik, paling penting jangan tidak solat, rugi sangat.
Selain itu, saya juga hendak tekankan walaupun solat 20 atau lapan rakaat yang penting istiqamah (konsisten) dan kualiti solat perlu dijaga bukan seperti ayam patuk makanan, kadang-kadang kita hendak cepat tidak sampai 15 minit sudah habis tetapi jika kualiti tidak dijaga ini adalah satu kerugian kerana solat adalah komunikasi kita dengan Allah.
Tapi budaya masyarakat Malaysia 10 malam terakhir digunakan untuk membeli-belah, bagaimana untuk mengubahnya?
MOHAMAD NORDIN: Kita perlu tukar budaya dan mentaliti ini, sekarang pun banyak kawasan di kampung dan bandar apabila tiba 10 malam terakhir mereka akan buat qiyamullail dan mengurangkan aktiviti pada waktu malam untuk fokus beribadat seperti beriktikaf dan bertadarus. Perkara ini yang perlu dicontohi supaya semakin di penghujung Ramadan semakin baik amalan kita untuk merebut lailatulqadar.
Bulan Ramadan selalu dikaitkan dengan pesta makanan sehingga berlakunya pembaziran makanan, bagaimana mengawal perkara ini?
MOHAMAD NORDIN: Untuk Ramadan kali ini, Jakim dengan kerjasama beberapa pihak telah melancarkan kempen Ramadan Tanpa Pembaziran, baru-baru ini. Kempen ini sangat penting kerana setiap kali bulan Ramadan sebanyak 18,000 tan makanan terpaksa dibuang berbanding hari biasa iaitu 15,000 tan.
Daripada jumlah ini, sebanyak 3,000 tan makanan yang masih boleh dimakan tetapi dibuang, ini satu pembaziran dan tidak sewajarnya berlaku dalam kita mahu mendapatkan nilai takwa sepanjang bulan ini, takwa bukan hanya dengan memperbanyakkan amalan tetapi tidak melakukan pembaziran juga adalah nilai takwa kerana membazir adalah sifat syaitan.
Selain itu, mengikut kajian pembaziran yang paling banyak dibuat adalah melibatkan isi rumah iaitu sebanyak 38 peratus diikuti pasar basah (25 peratus), restoran (23 peratus) dan hotel yang menyediakan bufet Ramadan (tujuh peratus).
Bagi mengurangkan tabiat pembaziran ini, kita turut mengedarkan risalah kempen ini kepada pihak hotel dan jabatan agama Islam di setiap negeri supaya dapat disampaikan kepada semua pihak ketika berceramah atau pun dalam khutbah.
Adakah benar syaitan diikat sepanjang bulan Ramadan?
MOHAMAD NORDIN: Berkenaan dengan perkara ini terdapat hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila menjelmanya Ramadan, nescaya dibuka pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.
Mengikut pandangan Mufti Wilayah Persekutuan, iblis yang diikat ini ialah yang ganas tetapi masih ada yang tidak dirantai. Namun begitu, di samping jin dan syaitan yang dirantai perkara yang selalu mempengaruhi kita dalam bulan Ramadan adalah nafsu.
Jin dan syaitan hanya pengaruh luar, pengaruh dalaman ini yang perlu dikawal. Untuk mengawal nafsu kita perlu kepada iman, kalau iman kuat insya-Allah boleh menjadi benteng daripada godaan hawa nafsu.
Masalah kita sekarang pada bulan Ramadan terutamanya di hujung Ramadan, nafsu besar kita mula kelihatan dengan melakukan pelbagai pembaziran untuk menyambut Syawal.
Ini adalah fenomena yang perlu disedari oleh masyarakat supaya Ramadan dapat mendidik kita untuk mengekang hawa nafsu dan apabila tibanya Syawal nanti kita dapat menyambutnya dalam keadaan penuh kesederhanaan tetapi meriah dan tidak membazir.
Tip untuk khatam dan sentiasa konsisten membaca al-Quran?
MOHAMAD NORDIN: Tip pertama adalah perlu pada keazaman yang tinggi bukan membaca al-Quran ketika waktu lapang, itu kita tidak mahu. Kita kena set untuk khatam al-Quran dan disiplinkan diri dengan sekurang-kurangnya menghabiskan sehari satu juzuk al-Quran.
Sebenarnya untuk menghabiskan satu juzuk tidak memakan masa yang lama, hanya perlukan satu jam walaupun merangkak-merangkak.
Selain itu, kita boleh peruntukan masa membaca al-Quran sekurang-kurangnya dua helai selepas solat fardu lima waktu, insya-Allah boleh dapat sehari satu juzuk.
Tip kedua, tidak perlu membaca al-Quran dengan suara yang kuat sebab ia akan menggunakan tenaga yang banyak dan apabila masuk sahaja halaman kedua kita sudah penat, jadi bagi saya sudah memadai membaca secara tartil (membaca dengan jelas dan tidak terburu-buru).
Tip yang terakhir, sebaik-baiknya sepanjang bulan Ramadan bawalah al-Quran kalau kita hendak ke mana-mana, kalau hendak menggunakan telefon pintar saya sarankan menggunakan aplikasi Smart Quran yang dibangunkan oleh Jakim dan diperakui kesahihannya. Selain itu, terdapat sebuah lagi naskhah al-Quran yang diterbitkan secara berasingan untuk 30 juzuk bersama terjemahan dalam bahasa Melayu oleh Yayasan Restu.
Jadi, kalau kita sasarkan untuk habiskan satu juzuk setiap hari, kita hanya perlu bawa satu bahagian atau juzuk tanpa perlu lagi membawa al-Quran 30 juzuk yang lebih tebal.
Sejak akhir-akhir ini menunaikan umrah pada bulan Ramadan menjadi satu trend, adakah ini trend positif?
MOHAMAD NORDIN: Ibadah ini tiada masalah untuk dilakukan malah kita tidak boleh menghalang sesiapa untuk menunaikan umrah bagaimanapun, ia perlu dibuat dengan mengikut kemampuan.
Umrah adalah satu ibadah yang dituntut tetapi tidak perlu sampai tiap-tiap kali pergi umrah sehingga mengabaikan perkara di sekeliling seperti anak yatim dan keluarga sendiri.
Setiap kali bulan Ramadan pasti terdapat aduan kanak-kanak bising ketika solat tarawih, apakah nasihat Datuk kepada semua pentadbir masjid dan surau?
MOHAMAD NORDIN: Bagi saya jawatankuasa surau dan masjid boleh mengatasi masalah ini secara setempat. Membawa anak-anak ke masjid pada bulan Ramadan sangat bagus bagi mendidik mereka tetapi yang lebih penting perlu ada unsur kawalan contohnya dengan menyediakan satu sudut khas supaya mereka tidak membuat bising.
Di Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya misalnya, terdapat satu sudut khas di bahagian belakang untuk kanak-kanak ini bermain selain itu, pihak masjid juga boleh menyediakan makanan dan aktiviti yang bersesuaian untuk kanak-kanak ini supaya tidak membuat bising.
Kita bimbang kalau kanak-kanak ini disekat daripada ke masjid mereka akhirnya akan tidur dan tengok televisyen sahaja di rumah.
Andai ini Ramadan terakhir, apakah nasihat Datuk?
MOHAMAD NORDIN: Kalau Allah jadikan ini Ramadan terakhir, jadikan ia sebagai satu motivasi untuk kita melipat kali gandakan amalan kerana dalam bulan ini terdapat pakej lengkap kerana di sini terdapatnya pahala, kemaafan, lailatulqadar dan sebagainya.
Kita kena tetapkan perkara ini dalam minda, jika tidak kita akan anggap bulan Ramadan sama seperti bulan-bulan lain yang datang dan pergi begitu sahaja pada setiap tahun.
Jadi kalau kita anggap ini merupakan Ramadan terakhir maka lakukanlah setiap ibadah secara bersungguh-sungguh dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah.











