KUALA LUMPUR 13 Mei – Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) mengumumkan pelantikan Datuk Abdul Rahman Mohd. Hashim sebagai pengerusinya yang baharu.
MaGIC dalam kenyataannya berkata, pelantikan tersebut tertakluk kepada pengesahan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.
Abdul Rahman memulakan kerjaya pada 1983 sebagai pegawai undang-undang di Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) sebelum menyertai firma guaman terkemuka sebagai peguam.
Beliau kemudiannya membuka syarikat guaman sendiri pada September 1988 sehingga hari ini.
Beliau kini merupakan rakan kongsi utama bagi Messrs. Rahman Hashim & Solicitors.
Abdul Rahman berkelulusan ijazah undang-undang dari University of Westminster London dan diterima masuk ke English Bar bagi Honourable Society of Lincoln’s Inn London pada 1983.
Beliau adalah anggota Majlis Peguam Malaysia sejak 1984. – BERNAMA











