JAKARTA 22 Mei – Sekurang-kurangnya 20 orang ditahan kerana mencetus rusuhan di Jakarta sebagai membantah keputusan pilihan raya umum negara itu selepas calon nombor satu Presiden, Joko Widodo atau Jokowi diisytiharkan menang, semalam.
Channel News Asia melaporkan, sekumpulan penunjuk perasaan dilihat menari-nari dengan disertai asap hitam berkepul-kepul ketika rusuhan itu di daerah Tanah Abang, Jakarta.
Selain itu, seorang saksi memberitahu, penunjuk perasaan itu turut membaling batu ke arah pasukan keselamatan yang mengawal pejabat Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu), Jalan MH Thamrin, di sini.
Semalam, Komisi Pemilihan Umum (KPU) membuat pengumuman mengejut keputusan pilihan raya pagi semalam, iaitu sehari lebih awal daripada tarikh sepatutnya bagi mengelakkan kekacauan.
Jokowi diumumkan menang dengan 55.5 peratus undi berbanding pesaingnya, Prabowo Subianto yang hanya memperolehi 44.5 peratus undi. -AGENSI











