KUALA LUMPUR 10 Mei – Seramai 100 fakir miskin warga Kemboja diraikan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa dalam majlis keraian di Phonm Penh, Kampung Sempadan Kemboja, Vietnam baru-baru ini.

Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican berkata, antara bantuan diberikan kepada golongan sasaran itu adalah beras serta keperluan asas bagi menyambut bulan Ramadan.
“Kali ini program dilakukan tidak begitu besar berbanding sebelum ini memandangkan kita kekurangan sumbangan daripada pihak penderma. Bagaimanapun NGO Antarabangsa yakin mampu menambah baik bantuan ini pada masa hadapan.
“Kita perlu mengambil langkah berjimat cermat kerana kebanyakan harga barang keperluan sudah meningkat. Saya berharap penduduk kampung di sini peka dengan kekurangan jiran tetangga dan sentiasa terbuka untuk memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapha yang dinobatkan Anugerah Khas Tokoh NGO Antarabangsa awal tahun lalu berkata, umat Islam perlu sentiasa memikirkan cara untuk memupuk semangat perpaduan dalam diri masing-masing dan bekerjasama untuk membantu golongan yang memerlukan.
Katanya, golongan muda perlu dilatih untuk terlibat dengan kerja-kerja kebajikan bagi membolehkan mereka belajar dan menghayati erti kesusahan sekaligus mengelakkan golongan itu terjebak dalam gejala sosial. – UTUSAN ONLINE











