[VIDEO] Jangan ‘duduk dalam selimut’ – Mohd. Na’im - Utusan Malaysia

[VIDEO] Jangan ‘duduk dalam selimut’ – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
RIAK wajah DATUK DR. MOHD. NA’IM MOKHTAR nampak segar ketika pertemuan pertama kali dengan Utusan Malaysia kelmarin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) baharu.

“Baru lapan hari duduk bilik ini,” katanya tersenyum sambil bersuara agak tegas memikir tanggungjawab besar menanti untuk membawa jabatan itu keluar dari kepompong keselesaan.

Kata beliau, satu perubahan perlu dilakukan oleh JKSM melalui langkah fasa pertama dengan memegang motto CIA – Cendekiawan, Ikhlas dan Amanah. Ini terutama dalam memperjuang aspek integriti dalam kalangan seluruh warga JKSM dan Mahkamah Syariah setiap negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dan turut turun padang menepis persepsi negatif yang bersarang dalam fikiran masyarakat terhadap jabatan itu.

“Kita tidak boleh lagi bergerak silo,” ujar beliau kepada wartawan MAISARAH SHEIKH RAHIM dan jurugambar, AMIR KHALID ketika ditemui di pejabat beliau di Kompleks Islam Putrajaya.
 

Jawatan Ketua Pengarah JKSM ini saya ambil sebagai satu taklif – tanggungjawab dan amanah besar. Bukannya tasyrif atau keistimewaan. Pada peringkat awal saya akan perkukuh hubungan dengan warga jabatan dan Mahkamah Syariah seluruh negara.

Ini agar mereka dapat memahami tentang apa hala tuju saya nak bawa di jabatan ini. Ia mengenai peri penting untuk warga JKSM keluar dari kepompong lama.

Kita tidak boleh lagi bekerja secara silo (bekerja dalam komuniti, sambil lewa), kena keluar dari zon selesa.

Perubahan mesti berlaku dengan pertamanya memastikan seluruh warga JKSM menjadi insan cintakan ilmu dan bermaklumat. Hanya orang yang ada ilmu dan maklumat mampu melakukan perubahan diri dan sekelilingnya.

Misi untuk melakukan reformasi ke atas JKSM mestilah selari dengan visi kerajaan. Kita tidak boleh syok sendiri kerana ada dasar yang telah digariskan oleh Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof iaitu untuk mewujudkan satu pentadbiran hal ehwal Islam yang terunggul di dunia menjelang tahun 2025.

Maka visi kami ke arah mahu menjadikan JKSM dan Mahkamah Syariah seluruh negara sebagai satu institusi kehakiman dan pentadbiran keadilan yang cemerlang.

CIA?

Motto saya ada tiga – Cendekiawan – melibatkan soal Ilmu, Ikhlas dan Amanah. Saya ringkaskan, CIA. Saya mahu lahirkan kecemerlangan di JKSM ini. Warga kerjanya mesti kaya maklumat, berintegriti dan bersungguh-sungguh melaksanakan peranan masing-masing dalam konteks melakukan perubahan dan memperbetulkan persepsi negatif masyarakat.

Ini cabaran institusi kehakiman dan perundangan syariah kerana tanpa modal insan yang memiliki ciri-ciri CIA, ia kan merosakkan apa jua reformasi yang ingin diperkenalkan.

SPRM MASUK JKSM?

Kita telah mngatur perjumpaan dengan Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang menunjukkan keseriusan saya tentang soal intergriti.

Pertemuan tersebut untuk jalin kerjasama dengan pihak mereka bagaimana boleh bantu JKSM walaupun JKSM diletak sebagai agensi berisiko rendah.

Kalau boleh ada pegawai SPRM ditempatkan di JKSM supaya sekurang-kurangnya ada kebimbangan untuk memulakan perbuatan menjurus kepada perlakuan rasuah.

CERAI SELESAI 6 JAM

Masyarakat luar sering salah anggap Mahkamah Syariah meletakkan prosedur menyusahkan untuk urusan perkahwinan dan penceraian. JKSM mahu perbetulkan persepsi ini.

Banyak cara untuk permudahkan proses kahwin cerai seandainya memang pasangan telah nekad untuk cerai dengan persetujuan bersama tetapi ramai masih tidak tahu akan inovasi baharu tersebut.

Sebagai contoh program fast track yang dilaksanakan di Mahkamah Syariah Selangor sejak 2016 semasa pentadbiran saya dahulu.

Kes penceraian jika ada persetujuan bersama boleh diselesaikan hanya dalam tempoh enam jam berbanding 90 hari sebelum ini. Sudah sampai masa kita perjelaskan bahawa proses inovasinya sudah ada.

JKSM juga melaksanakan program bicara malam untuk membantu memudahkan ibu tunggal yang bekerja pada siang hari untuk perbicaraan malam. Begitu juga di negeri-negeri lain, mereka ada program inovasi sendiri.

Maknanya di sini usaha itu berjalan tetapi sejauh mana usaha itu sampai ke pengetahuan atau telinga masyarakat, itu yang kita mahu gerakkan sehingga persepsi negatif selama ini terungkai.

KENAPA TIADA PENYELARASAN?

Itulah peranan JKSM sebagai jabatan menyelaras. Saya sebagai Ketua Hakim Syarie yang mempengerusikan Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie akan memastikan ia bukan sekadar mesyuarat sahaja tetapi apa jua inovasi yang dibuat negeri-negeri tertentu dapat diselaraskan dan diguna pakai semua.

Bagaimanapun, ini memerlukan keyakinan penerimaan setiap negeri kerana isu Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri.

Maka ketua hakim yang ada sikap tasammuh perlu duduk berbincang tentang masalah yang berlaku dan cuba selaraskan.

Musyawarah berkenaan isu penyelarasan ini akan dibuat dari semasa ke semasa.

MASALAH PENYELARASAN?

Kita sedar ini sudah wujud sekian lama. Jadi, kali ini kita cuba buat penyelarasan dengan menggunakan kuasa yang ada pada ketua hakim di JKSM untuk meyakinkan ketua hakim negeri supaya menerima penyelarasan.

Contohnya apabila JKSM menyediakan SOP bagi perkahwinan kanak-kanak bawah umur, maka JKSM akan membentangkan semasa persidangan ketua-ketua hakim syarie yang bersidang empat kali setahun.

Bagi tujuh negeri guna sama yang berada di bawah penyeliaan JKSM – Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis, Sabah – mungkin tidak ada masalah.

Tetapi tujuh negeri lain yang mempunyai ketua hakim syarie sendiri dan ada kuasa sendiri, kita tidak boleh paksa mereka.

Tugas JKSM hanya boleh menyakinkan mereka untuk menandatangani MoU supaya berlaku penyelarasan.

JKSM PEJUANG HAK WANITA

Saya berpegang pentingnya JKSM ini keluar turun padang supaya peranan jabatan ini dilihat.

Kalau dahulu mungkin seorang dua sahaja yang keluar, ia tak nampak lagi kekuatan, jadi kena keluar dalam jumlah ramai dan bawa ke tengah masyarakat tentang usaha dibuat JKSM dan Mahkamah Syariah.

Jika kita ambil pendekatan bersembunyi, akan menyebabkan suara pihak lain yang mendakwa memperjuangkan hak-hak wanita teraniaya misalnya, akan nampak lebih ketara.

Kita tidak boleh berdiam diri ‘duduk bawah selimut’ dan hanya fikir tak kisah apa orang nak kata asalkan Allah sahaja yang menilai.

Tidak boleh macam tu, jika bersikap sebegitu selagi itulah pihak-pihak lain mengambil pendekatan akan terus menyerang kita.

Masyarakat akan nampak golongan tertentu sahaja yang memperjuangkan wanita seperti NGO wanita yang bersifat liberal.

Sedangkan JKSM dan mahkamah syariah telah pun membantu wanita-wanita dengan memastikan keadilan sebenar dapat diberikan kepada wanita.

Kita haruslah lebih kreatif dan inovatif dalam mempelbagaikan kaedah untuk membantu masyarakat termasuklah melalui platform media sosial bagi merealisasikan motto JKSM iaitu syariah atas keadilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini