KOTA BHARU 28 April – Seorang lelaki warga emas meninggal dunia selepas mengadu sakit dada ketika mahu mengambil wuduk di Masjid Al-Baroah, Pasar Besar Siti Khadijah, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 petang, Allahyarham Ibrahim Omar, 61, ke masjid tersebut untuk solat Maghrib selepas selesai bekerja sebagai pembancuh air di gerai di tingkat dua pasar.
Seorang saksi wanita yang enggan dikenali berkata, ketika arwah yang dipanggil ‘Pakdo Him’ mahu mengambil wuduk, dia mengadu sakit dada.
“Dia duduk di atas sebuah kerusi plastik dengan bantuan orang ramai.
“Namun tidak sangka arwah menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan duduk dengan kepala bersandar di dinding,” katanya ketika ditemui di sini malam ini.
Rakan baik mangsa, Nazri Hussin, 38, pula beberapa hari sebelum kejadian mangsa ada memberitahu berasa tidak sedap badan dan sakit di bahagian dada.
“Saya terkejut mendapat berita kematiannya semasa mahu menunaikan solat Maghrib. Arwah ‘pergi’ dalam keadaan yang baik iaitu husnul khatimah,” katanya.
Mayat Ibrahim dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Penambang, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan polis mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE











