JOHOR BAHRU 29 April – Dewan Muda Johor (DMJ) menasihatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya berhenti berpolitik mengikut emosi terutama dalam isu membabitkan kerajaan pusat dan Istana Johor.
Menurut DMJ, tindakan Syed Saddiq yang turut sama tidak melepaskan peluang mengecam dan mengambil serius video viral Tunku Mahkota Johor yang dilihat hanya berseloroh dengan peminatnya, tidak memberi sebarang keuntungan.
Malah, kata DMJ, tindakan Syed Saddiq itu hanya menambah kekeruhan hubungan antara kerajaan pusat dan Istana Johor, lebih malang, sikap ditunjukkan beliau sebagai anak Johor sangat mendukacitakan rakyat negeri ini.
“DMJ melihat perangai Syed Saddiq seperti ‘kebudak-budakan’ dan terlalu mengikut emosi, ia adalah suatu perkara yang sangat merugikan negeri Johor dan Malaysia.
“Kepada Yang Berhormat Syed Saddiq, berhentilah berpolitik seperti itu, kenyataan yang dibuat tidak akan menguntungkan rakyat tetapi lebih membawa kepada perpecahan di antara rakyat,” menurut DMJ dalam kenyataan di sini hari ini.
DMJ berpendapat, daripada Syed Saddiq sibuk membuat kenyataan yang menyerlahkan lagi sikap tidak matangnya, adalah lebih baik beliau fokus kepada usaha menaikkan prestasi sukan negara atau menunaikan janji membawa pulang 400,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
DMJ juga ingin membidas kenyataan dibuat Syed Saddiq, pertama, dalam situasi hari ini, tidak semestinya semua rakyat bersama Dr. Mahathir, rakyat memilih Pakatan Harapan (PH) kerana janji dan manifesto yang sangat menarik dan tidak mampu ditolak oleh majoriti rakyat.
Kedua, tambah DMJ, di Malaysia bukan sahaja mengamalkan demokrasi berpelembagaan tetapi juga Raja Berpelembagaan, maka sebagai rakyat, Ahli Parlimen dan berjawatan Menteri seharusnya memelihara dan menghormati Institusi Diraja seperti termaktub di dalam perlembagaan.
“Ketiga, TMJ meletakkan jawatan sebagai Presiden FAM sebagai mengambil tanggungjawab atas kejatuhan ranking Harimau Malaya pada ketika itu dan adalah sangat tidak adil membandingkan situasi itu dengan Perdana Menteri yang memimpin negara,” menurut DMJ dalam kenyataan itu.
Justeru, DMJ ingin mengambil pendekatan seperti disarankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini supaya ada pertemuaan dua hala dilakukan oleh pihak terlibat dalam usaha menyelesaikan masalah mereka. – UTUSAN ONLINE.











