KUALA LUMPUR – Kabinet kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini tidak membantah dan sanggup menyetujui Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada tahun 2011, kata wakil Kumpulan Bekas Penjawat Awam (G25), Datuk Noor Farida Ariffin.
Noor Farida yang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah di Jabatan Kajian Perjanjian dan Undang-undang Antarabangsa di bawah Wisma Putra ketika itu berkata, beliau adalah orang yang bertanggungjawab dalam menyediakan kertas Kabinet bagi meratifikasinya.
“Saya orangnya yang menyediakan kertas Kabinet kepada semua menteri serta agensi-agensi kerajaan, dan juga kepada Peguam Negara ketika itu.
“(Tetapi) Peguam Negara ketika itu (Tan Sri Abdul Gani Patail) tidak bersetuju dengannya, namun semua kementerian serta jabatan yang lain bersetuju (meratifikasinya). Kabinet kemudiannya mengenepikan bantahan Peguam Negara dan memutuskan untuk menyetujuinya pada 11 Mac, namun Menteri Luar ketika itu tidak mahu menandatanganinya,” katanya kepada pemberita selepas majlis forum awam ‘Malaysia & Rome Statute’ di Universiti Malaya hari ini.
Pada 5 April lepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa Malaysia menarik diri daripada meratifikasi Status Rom disebabkan kekeliruan politik di kalangan rakyat.
Sementara itu Noor Farida berkata, kerajaan seharusnya menimbang semula langkah menarik diri itu dan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dari kalangan pakar bagi menolak anggapan salah mengenai statut itu.
Beliau berkata, dengan adanya pakar undang-undang dan strategi komunikasi yang lebih baik, kerajaan akan mempunyai koordinasi lebih baik ketika bersemuka dengan rakyat.
“Dengan memiliki semua strategi ini, rakyat akan tahu bahawa tidak ada apa yang perlu ditakutkan mengenai ICC dan ia bukan agenda negara ‘super power’ dunia,” katanya.
Noor Farida berkata, G25 turut menghantar memorandum mengenai apa yang telah dibincang dan dicadangkan dalam forum hari ini kepada kerajaan, minggu depan.
Sementara itu Pakar Undang-undang Perlembagaan Emeritus Professor, Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi turut menyetujui kenyataan Noor Farida, dan menggesa kerajaan menimbang semula penarikan diri daripada ICC.
“Jawatankuasa Parlimen seharusnya dilantik bagi membincangkan perkara itu dengan lebih terperinci, manakala pasukan tentera dan polis perlu diberi taklimat mengenai undang-undang yang berkaitan dengan statut,” katanya. – Bernama











