TURIN 14 April – Hajat Juventus untuk menjulang kejuaraan Serie A kali kelapan berturut-turut lebih awal tertangguh ekoran kekalahan mengejut 1-2 kepada kelab kerdil, SPAL hari ini.
Jaringan Kevin Bonifazi dan Sergio Floccari menghadiahkan kemenangan sensasi SPAL, sekali gus mengutip tiga mata berharga.
Juventus yang memperoleh gol saguhati menerusi penyerang remaja, Moise Kean kini perlu menunggu aksi berikutnya menentang Fiorentina untuk menyambar kejuaraan.
Anak-anah buah Massimiliano Allegri hanya memerlukan satu mata daripada baki enam perlawanan untuk mengesahkan gelaran.
Memandangkan mereka bakal berdepan cabaran getir Ajax dalam suku akhir kedua Liga Juara-Juara, Selasa depan, Allegri merehatkan tonggak seperti Cristiano Ronaldo, Ronaldo, Federico Bernardeschi, Mario Mandzukic, Alex Sandro, Miralem Pjanic, Blaise Matuidi, Leonardo Bonucci dan Giorgio Chiellini ketika menentang SPAL.
Percaturan itu pada awalnya berjaya selepas Kean meledak gol pembukaan pada minit ke-30, namun SPAL bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Bonifazi pada minit ke-49, sebelum Floccari melengkapkan kemenangan, 16 minit sebelum tamat permainan.
“Kami menurunkan ramai pemain muda hari ini dan mereka bermain dengan baik tetapi faktor kurang pengalaman menyebabkan kami melepaskan gol kedua lawan,” kata Allegri. – AGENSI











