TASEK GELUGOR – Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya satu Parlimen mempunyai satu program Masjid Rahmah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, mana-mana masjid sedia ada yang mengamalkan ciri-ciri RAHMAH (ramah, aman, harmoni, mesra, a’lamin dan hormat) boleh diiktiraf sebagai Masjid Rahmah.
“Kami sedang mengadakan jelajah di seluruh negara untuk menyampaikan dasar-dasar ini. Alhamdulillah, sambutannya amat menggalakkan dan dengan harapan kita dapat membebaskan masjid daripada cengkaman kepuakan, kekelompokan dan kepartian.
“Masjid akan menjadi sebuah institusi ummah yang bebas daripada segala apa-apa kepentingan dan menjadi sebuah masjid yang hanya menyampaikan kebaikan dan berlumba-lumba atas kebajikan kepada seluruh masyarakat yang ada di sekeliling,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Masjid Rahmah di Masjid Simpang Empat, Permatang Buloh, di sini hari ini. – Bernama











