Saifuddin pertahankan PM, proses ratifikasi Statut Rom - Utusan Malaysia

Saifuddin pertahankan PM, proses ratifikasi Statut Rom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 6 April – Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan Kabinet telah membuat keputusan mengikut prosedur yang betul dalam proses meratifikasi Statut Rom baru-baru ini, tanpa perlu dibuat melalui Parlimen.

Beliau bagaimanapun menyokong pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa sidang akhbar petang semalam untuk memberitahu Malaysia memutuskan menarik diri daripada menyertai statut tersebut.

Namun katanya, dari segi perundangan, jemaah menteri berpendirian bahawa menyertai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di bawah Statut Rom adalah keputusan tepat kerana ia mengukuhkan iltizam Malaysia dalam menegakkan keadilan di persada antarabangsa serta manfaatnya kepada negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kekebalan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu terpelihara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Dari segi proses membuat keputusan, jemaah menteri telah membuat keputusan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada jemaah menteri dalam menandatangani perjanjian antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keputusan menarik diri daripada menyertai Statut Rom dibuat dalam mesyuarat Kabinet setelah mengambil kira bantahan pelbagai pihak termasuk Majlis Raja-Raja.

Statut itu ditandatangani pada 4 Mac lalu tanpa makluman serta perbahasan di Parlimen dan dikatakan tanpa melalui persetujuan Majlis Raja-Raja.

Saifuddin dalam kenyataan itu bagaimanapun dilihat cuba mempertahankan tindakan meratifikasi statut tersebut dengan menjelaskan, sejak dahulu lagi terdapat lebih seratus triti dan konvensyen antarabangsa yang diratifikasi tanpa melalui proses Parlimen.

“Perkara ini tidak perlu dirujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja kerana ia tidak melibatkan perkara-perkara yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk dirujuk dan tiada pindaan Perlembagaan Persekutuan diperlukan.

“Malangnya, ada pihak yang sengaja menyalah tafsir Statut Rom termasuk soal merujuk kepada Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja dengan memberikan nasihat atau pendapat yang tidak tepat dan mengetepikan fakta dan hujah yang rasional.

Beliau juga menyalahkan pihak tersebut kerana menganggap dengan sengaja memainkan emosi menakutkan orang ramai sehingga timbul kekeliruan dan salah faham demi mencapai matlamat politik dengan niat menjatuhkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri yang dipilih melalui proses demokrasi.

Saifuddin menegaskan pentadbiran PH akan terus berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini