LONDON 12 April – Unai Emery memberi amaran kepada Arsenal untuk menjangkakan kebangkitan Napoli minggu depan selepas pasukannya menundukkan kelab Itali itu 2-0 dalam suku akhir pertama Liga Europa, hari ini.
Gunners menguasai sebahagian besar permainan di Emirates hari ini, terutama pada babak pertama.
Aaron Ramsey cemerlang membuka jaringan tuan rumah seawal minit ke-14, sebelum Arsenal menggandakan kedudukan 2-0 selepas pemain pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly tertampan bola Lucas Torreira ke gawang sendiri.
Melihat rekod buruk Arsenal dalam perlawanan di tempat lawan musim ini, Emery menyuarakan kebimbangan menghadapi suku akhir kedua di Naples, Khamis depan.
“Amat penting untuk kami mencatat keputusan baik dalam suku akhir pertama, namun kita semua sedar kesukaran yang bakal menanti di Itali nanti.
“Napoli menunjukkan aksi amat mantap setiap kali bermain di depan penyokong sendiri, jadi kami perlu menghormati mereka biarpun turun dengan misi mencari kemenangan.
“Peluang masih 50-50. Cabaran kami sekarang adalah memberikan aksi kompetitif di tempat lawan.Kerap kali berlaku kami hilang semangat ketika bermain di luar,” kata Emery.
Sementara itu, pengendali Napoli, Carlo Ancelotti yakin pasukannya akan bangkit dalam perlawanan timbal balik.
“Keputusan (suku akhir pertama) tidak boleh diubah tetapi suasana pasti berbeza apabila kami beraksi dengan sokongan penonton sendiri, jadi saya masih berkeyakinan tinggi,” ujarnya. – AFP











