SANDAKAN – Calon DAP bagi Pilihan Paya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee mahu menunaikan janji yang tidak sempat diselesaikan oleh mendiang bapanya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt kepada rakyat di Parlimen itu.
Menurut Vivian, 30, beliau berpegang kepada prinsip mendiang bapanya yang meninggal dunia akibat sakit jantung iaitu harus menyelesaikan apa yang sudah dimulakan.
“Sebagai anak yang mengikut perjuangan politik dan bekerja di bawah bapa saya ketika mendiang sebagai wakil rakyat dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, saya mahu menyelesaikan janji kepada rakyat yang belum ditunaikan oleh bapa saya,” katanya pada ceramah umum di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mesra di sini, malam tadi.
Vivian, anak bongsu daripada empat adik-beradik berkata, semangat dan keyakinan bapanya itu menjadi pendorong penting kepadanya dalam perjuangan politik terutama membantu golongan yang memerlukan perhatian.
Katanya, beliau sudah bersedia dan nekad meneruskan perjuangan mendiang bapanya dalam politik untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya sedar setiap hari rakyat perlukan kami dan sebab itu konsep sentiasa turun padang yang menjadi pendekatan penting mendiang bapa saya akan saya teruskan terutama jika menerima aduan daripada rakyat,” katanya.
Seperti mendiang bapanya, Vivian yang mula bergiat dalam arena politik sejak 2012 menerusi DAP mahu menumpukan kepada aspek pembangunan yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada generasi muda.
Katanya, sebab itu beliau menyifatkan keputusan kerajaan persekutuan meneruskan projek naik taraf landasan Lapangan Terbang Sandakan tepat pada masanya.
Menurutnya, ia akan meningkatkan jumlah pesawat mendarat di lapangan terbang itu dan seterusnya meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke daerah ini. – Bernama











