SEREMBAN – Polis menempatkan lebih 1,000 anggota bagi memastikan perjalanan hari mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau esok berjalan lancar.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd. Rosli Ishak berkata, kesemua anggota yang ditugaskan sepanjang hari mengundi esok bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kita sejak hari penamaan calon telah mengerah anggota melakukan kawalan sepanjang PRK DUN Rantau dengan kekuatan anggota yang ada sehingga kini saya yakin dan percaya kita sudah cukup bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau menasihatkan penyokong parti terlibat supaya tidak melakukan sebarang provokasi yang boleh menimbulkan kekecohan.
“Pihak polis meminta supaya para penyokong tidak mengadakan perarakan dimana-mana lalu lintas esok, sekiranya mereka ini (penyokong) melakukan sebarang kekecohan pihak polis tidak teragak-agak mengenakan sebarang tindakan undang-undang kepada mereka,” katanya.
Sebanyak 14 pusat mengundi membabitkan 53 saluran dibuka bermula dari pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.
Seramai 20,793 orang daripada 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi esok dan daripada jumlah tersebut, seramai 11 orang telah mengundi secara pos.
PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Dr. S. Streram, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah, R. Malarvizhi dan bekas pensyarah, Mohd. Nor Yassin.
PRK tersebut diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 November tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah. – Bernama











