LONDON 22 April – Penyokong Manchester United bimbang hubungan mereka dengan Paul Pogba akan rosak dan tidak mampu diperbaiki lagi selepas ini.
Pogba yang merupakan pemenang Piala Dunia bersama pasukan Perancis menaikkan kemarahan penyokong apabila bertindak meninggalkan padang selepas tewas 0-4 kepada Everton di Goodison Park.
Semua pemain kelab itu perlu mengikut peraturan yang ditetapkan iaitu mengucapkan terima kasih kepada penyokong terutamanya melibatkan perlawanan di tempat lawan.
Kebanyakan pemain bergerak ke arah penyokong untuk mengucapkan terima kasih walaupun ia merupakan kekalahan memeritkan namun Pogba bertindak sebaliknya.
Seorang penyokong di laman Twitter berkata: “Cukup, dia tidak menghormati penyokong.
Seorang penyokong lain berkata: “Saya merupakan peminat Pogba dan dia sangat luar biasa apabila kami menang tetapi apabila kalah, sikapnya sangat teruk.
“Dia tidak ubah seperti virus di dalam pasukan ini dan bukan inspirasi kepada pemain lain. Dia seharusnya meninggalkan kelab ini.”
Pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer bertindak memohon maaf kepada penyokong mewakili pemain-pemainnya.
“Sejak wisel dibunyikan, semuanya tidak berjalan dengan baik. Saya ingin memohon maaf kepada semua penyokong.
“Penyokong adalah individu yang mampu berbangga dengan diri mereka hari ini kerana kami tidak mampu melakukannya,” katanya.-AGENSI











