KUALA LUMPUR – Seorang pensyarah sebuah kolej komuniti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas empat pertuduhan bersubahat berkaitan empat program Skim Kemahiran dan Kerjaya 1Malaysia (SKK1M) membabitkan jumlah lebih RM165,000 enam tahun lalu.
Tertuduh Mohd. Faisal Ishak, 57, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat tertuduh sebagai Pengarah di Bahagian Hubungan Industri, Pengesahan Graduan & Alumni (ketika kejadian) didakwa telah bersubahat dengan Ahmad Fauzi Abdul Samad memberikan suatu dokumen iaitu invois daripada empat buah syarikat bertarikh 25 November 2013 berjumlah RM165, 834 yang mana ia adalah palsu berkaitan dengan empat program SKK1M yang sebenarnya tidak dijalankan oleh syarikat- syarikat tersebut.
Empat buah syarikat itu ialah Moca Resources Sdn. Bhd. (Program Painting&Blasting), Alfah Synergy Sdn. Bhd. ( Structured Internship Programme Scaffoding, Occupational Safety & Health Sdn. Bhd. (Site Safety Supervisor Structured Internship Programme) dan Iskandar Vocatinal & Tech Academy Sdn. Bhd. (Program Koloborasi Strategi Kolej Komuniti Bersama Industri – Juruteknik Telekomunikasi).
Kesemua dokumen invois palsu berkaitan program itu diberikan kepada seorang ejen iaitu Faizal Yusoff yang merupakan Penolong di Bahagian Hubungan Industri, Pengesahan Graduan dan Alumni di Ibu Pejabat Jabatan Pengajian Kolej Komuniti di Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Pengajian Kolej Komuniti, Tingkat 7, Galeria PJH Jalan P4W Putrajaya pada 25 November 2013.
Berikutan itu, kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 18 akta sama dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24(2) akta yang sama.
Hukuman itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Ashraf Mohamed mencadangkan jumlah ikat jamin RM80,000 bagi keempat-empat pertuduhan termasuk pasport diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Abdul Hakeem Aiman memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan tertuduh mempunyai komitmen tinggi dalam perbelanjaan keluarga selain mempunyai masalah kesihatan penyakit gout dan darah tinggi.
“Tertuduh masih menjadi pensyarah di kolej komuniti dan mengajar bahasa Inggeris dan sepanjang siasatan tertuduh memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di hadapan Hakim Rozina Ayob, Ahmad Fauzi, 47, turut mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan memberikan invois kepada ejen membabitkan kesalahan dan jumlah yang sama.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Ahmad Fauzi didakwa telah memberikan dokumen invois empat buah syarikat itu kepada yang mana program itu tidak dijalankan oleh keempat-empat buah syarikat tersebut.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat dan tarikh yang sama.
Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen dan memperuntukkan hukuman sama.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes. – K! ONLINE











