KUALA LUMPUR 29 April – Pembuat dasar perlu mengambil peranan lebih aktif dalam usaha memperbanyak pengenalan produk pembiayaan Islam bagi rangkuman kewangan untuk memastikan tahap penembusan yang baik.
Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, lebih 1.7 bilion orang dewasa atau satu pertiga daripada penduduk dewasa di dunia dianggarkan tidak mempunyai akses kepada perkhidmatan kewangan formal kebanyakannya berada di negara-negara membangun.
“Penyediaan akses kepada perkhidmatan kewangan adalah wawasan universal dikongsi untuk semua negara termasuk negara Islam. Walaupun pada hakikatnya, akses kepada perkhidmatan kewangan tidak seragam atau konsisten.
“Ketidakupayaan untuk mengakses produk dan perkhidmatan kewangan asas menghalang beberapa segmen penduduk sesebuah negara daripada menyertai pertumbuhan dan kemakmuran yang sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan ucaptama sempena persidangan bertemakan ‘Kewangan Islam: Pemangkin Rangkuman Kewangan’. – UTUSAN ONLINE











